BATU PAHAT: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, meninjau keadaan dan mangsa banjir di Sri Medan dan Parit Sulong, antara kawasan terjejas banjir paling teruk di Johor, hari ini.
Mohd Zuki berkata, tinjauannya itu bagi menghulurkan tenaga dan bantuan kepada mangsa yang terkesan teruk akibat banjir yang melanda sejak 28 Februari lalu.
"Hari ini, saya turun melihat kawasan terjejas banjir di sekitar Batu Pahat dan turut menyampaikan Bakul Rahmah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kepada penduduk di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sejati, Sri Medan.
"Saya bersama delegasi bergerak ke Klinik Desa Sri Menanti untuk menyampaikan Sumbangan Rahmah Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada 360 keluarga yang terjejas akibat banjir membabitkan empat kampung di Sri Medan.
"Saya juga menyampaikan sumbangan kepada lima sekolah di Mukim Simpang Kiri, yang terjejas akibat musibah banjir daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam lawatan itu, Mohd Zuki juga menyantuni menyantuni sukarelawan penjawat awam, membabitkan kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta SWCorp di Balai Raya Kampung Parit Yusof.
"Saya menzahirkan rasa terima kasih kepada semua agensi kerajaan serta sukarelawan yang berganding bahu membantu usaha memulihkan semula tempat yang terjejas banjir.
"Semoga bantuan ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh mangsa banjir. Selamat menyambut Ramadan kepada semua sukarelawan, di mana sahaja anda berada. Semoga usaha murni ini mendapat keberkatan daripada-Nya, insya-Allah," katanya.
Bencana banjir besar sejak 28 Februari lalu disifatkan antara bencana terburuk melanda Johor selepas bah besar 2006.
Ia membabitkan 85,000 mangsa daripada 26,376 keluarga, yang ditempatkan di 379 pusat pemindahan sementara (PPS) di semua 10 daerah di negeri itu.