KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 daripada 235 syarikat berstatus BioNexus berjaya menembusi pasaran global setakat Januari lalu, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata, syarikat itu berjaya merancakkan industri bioteknologi negara dengan mencapai RM369 juta nilai eksport pada 2022.
"Sasaran kita di bawah Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) adalah untuk 30 peratus syarikat BioNexus ke peringkat global dengan 70 peratus lainnya aktif secara tempatan.
"Setakat Januari, kita ada 235 syarikat berstatus BioNexus dan kita akan bekerjasama dengan agensi lain untuk mengenal pasti mana-mana syarikat untuk dibangunkan hingga ke status unicorn (syarikat pemula persendirian yang mempunyai nilai lebih AS$1 bilion)," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai jumlah syarikat Bionexus yang mencapai status syarikat unicorn.
BioNexus adalah status khas dianugerahkan Bioeconomy Corporation Sdn Bhd, sebuah agensi pembangunan industri berasasakan bio di bawah MOSTI kepada syarikat bioteknologi tempatan dan antarabangsa yang layak.
Arthur berkata, kerajaan menyediakan pelbagai insentif untuk menggalakkan lebih banyak syarikat menceburi dan meneroka bidang itu.
"Dalam Belanjawan 2023, syarikat bionexus akan diberikan pengecualian cukai 100 peratus, iaitu satu insentif yang amat baik untuk industri ini," katanya.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan melihat bioteknologi sebagai satu penyelesaian kepada cabaran sekuriti makanan yang melanda negara.
Katanya, MOSTI dengan kerjasama agensi lain akan memperkukuhkan ekosistem bioteknologi negara bagi menyelesaikan masalah bekalan makanan, selaras dengan DBN 2.0.
– BERNAMA