Rabu, 22 March 2023 | 12:32pm
Pekerja pembersihan, sukarelawan bergotong-royong membersihkan Masjid Razaleigh di Gua Musang bagi menyambut kedatangan Ramadan dijangka bermula esok. - Foto Paya Linda Yahya
Pekerja pembersihan, sukarelawan bergotong-royong membersihkan Masjid Razaleigh di Gua Musang bagi menyambut kedatangan Ramadan dijangka bermula esok. - Foto Paya Linda Yahya

Masjid Razaleigh bakal terima 2,000 jemaah solat terawih

GUA MUSANG: Masjid Razaleigh di sini, bernilai lebih RM34 juta yang menyamai model Masjidil Haram di Makkah, dijangka menerima hingga 2,000 jemaah yang akan hadir bagi menunaikan solat sunat tarawih pada malam pertama Ramadan malam ini.

Berikutan itu, seramai 24 pekerja pembersihan, sukarelawan dan kakitangan pejabat pengurusan Masjid Razaleigh di sini, bergotong-royong membersihkan masjid yang menjadi mercu tanda baharu di Kelantan.

Imam Muda Masjid Razaleigh, Muhamad Khirul Safarudin Zulkifli berkata, pihaknya membuat persiapan akhir termasuk membersihkan ruangan dalaman dan luaran masjid.

"Kita mempunyai 14 pekerja pembersihan, tujuh sukarelawan dan tujuh kakitangan pejabat yang giat melakukan persiapan akhir untuk menyambut kedatangan Ramadan.

"Kami bergotong-royong membersihkan dan mencantikkan pemandangan masjid bagi menyambut kedatangan jemaah yang akan mengimarahkan bulan Ramadan," katanya ketika ditemui di Masjid Razaleigh di sini, hari ini.

Muhamad Khirul Safarudin, ini adalah kali kedua Masjid Razaleigh digunakan untuk solat tarawih sejak beroperasi pada April tahun lalu.

Katanya, pihak masjid menerima jemaah sama ada dari dalam atau luar daerah ini dan pelbagai aktiviti akan dilakukan di masjid itu yang akan beroperasi selama 24 jam pada Ramadan ini.

"Selain solat tarawih, kita merancang untuk menyediakan iftar secara harian, iftar perdana dan hafazan al-Quran.

"Ramadan tahun ini pastinya lebih meriah kerana pada tahun lalu kita tidak dapat mengadakan banyak aktiviti kerana pandemik COVID-19," katanya.

Berita Harian X