Selasa, 21 March 2023 | 6:27pm
Ewon (kiri) melawat tapak pameran peniaga kecil pada Pelancaran Pelan Pembangunan dan Peniaga Kecil (P3PK) 2023-2027 hari ini.
Ewon (kiri) melawat tapak pameran peniaga kecil pada Pelancaran Pelan Pembangunan dan Peniaga Kecil (P3PK) 2023-2027 hari ini.

Pelan pembangunan peniaga kecil 2023-2027 bagi manfaat kepada lebih 86,000 peserta

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hari ini melancarkan Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil 2023-2027 (P3PK 2023-2027) yang menggariskan strategi dan inisiatif pemerkasaan komuniti itu di Malaysia.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata pelan yang berpaksikan Dasar Keusahawan Nasional 2030 itu adalah kesinambungan kepada Inisiatif Strategik Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil 2015-2020 yang sudah tamat tempoh pelaksanaannya.

"Pelan ini mampu menyokong pertumbuhan dan pembangunan kumpulan penjaja serta peniaga kecil di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Pembangunan pelan memfokuskan kepada perencanaan strategi dan inisiatif yang lebih komprehensif serta mampan dengan mengambil kira impak pandemik COVID-19 terhadap komuniti penjaja dan peniaga kecil yang terjejas teruk dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini," katanya berucap melancarkan P3PK 2023-2027 di sini, hari ini.

Bertemakan 'Memacu Kelestarian Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Melalui Persekitaran Kondusif dan Holistik', P3PK 2023-2027 dirangka berpaksikan lima teras utama dan diperkukuh dengan 17 strategi serta 29 inisiatif yang diyakini mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan ekosistem perniagaan komuniti itu di seluruh negara.

Ewon berkata, perancangan, pelaksanaan strategi dan inisiatif untuk tempoh lima tahun akan datang sudah dicerakinkan mengikut tiga fasa garis masa iaitu langkah pantas selama setahun, sederhana (satu hingga tiga tahun) dan panjang yang mengambil masa tiga hingga lima tahun.

"KUSKOP percaya dengan penetapan garis masa ini, pelan ini akan memberi impak positif dan kolektif kepada setiap pihak berkepentingan dalam tempoh yang munasabah," katanya.

Ewon berkata, penetapan garis masa itu juga dilihat akan membolehkan transformasi dan perubahan terhadap landskap pengoperasian penjaja dan peniaga kecil yang lebih sistematik serta mampu memberi impak positif kepada kumpulan sasaran.

"Impak positif ini merangkumi perkara seperti psikologi kendiri penjaja dan peniaga kecil, ekosistem perniagaan yang lebih kondusif, peningkatan sokongan kewangan dan latihan pembangunan perniagaan, pembangunan modal insan serta peningkatan adaptasi budaya pendigitalan," katanya.

Ewon berkata, pelan itu dijangka mampu memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 86,000 penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara. – BERNAMA

Berita Harian X