Selasa, 21 March 2023 | 6:10pm

Siasatan polis tiada unsur perkauman

KUALA LUMPUR: Polis menolak tuduhan kononnya siasatan berhubung isu program 'Jom Ziarah Gereja' ada unsur perkaumam membabitkan pegawainya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata siasatan dilakukan secara adil dan saksama meskipun ada pegawai penyiasat yang terbabit dalam kes berkenaan berbangsa Cina.

Eng Lai berkata sebahagian besar pegawai yang terbabit dalam siasatan sebenarnya adalah berbangsa Melayu.

"Salah itu (dakwaan itu) ia secara kebetulan sahaja. Penyiasatan polis adalah adil dan saksama tak kira apa bangsa seseorang pegawai penyiasat dan pengadu.

"Mungkin secara kebetulan sahaja terdapatnya pegawai siasatan kes berkenaan berbangsa Cina namun pihak polis tidak menjalankan siasatan berdasarkan unsur perkauman.

"Kita (Polis Daerah Sentul) ada pegawai penyiasat kanan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) Melayu untuk memantau proses siasatan," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Beliau menjawab dakwaan aktivis politik dikenali Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin, yang menimbulkan isu kaum pegawai polis yang mengambil keterangan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi membantu siasatan kes itu semalam.

Badrul Hisham semalam mendakwa di depan media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul konon wujud konspirasi untuk melindungi menteri terbabit dalam kes berkenaan.

Beliau juga mengaitkan bangsa pegawai polis yang mengambil keterangan dalam kes berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Eng Lai berkata pihaknya dalam proses melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Setakat ini kertas siasatan di peringkat akhir penelitian sebelum diserahkan kepada pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

"Secara keseluruhan pihak polis memanggil lima saksi untuk mendapatkan keterangan bagi membantu siasatan," katanya.

Berita Harian X