PUTRAJAYA: Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang melaksana audit bagi mengenal pasti stesen komuter yang perlu dipertingkat kemudahan terutama bagi pembinaan lif.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata RAC juga diberi tempoh setahun untuk menyediakan kemudahan lif dengan sasaran stesen komuter besar yang mempunyai dua platform.
"Memang hasrat kita menambah baik kemudahan ini di stesen komuter KTM. Walaupun saya letakkan sasaran dalam tempoh setahun, sudah tentu akan ada cabaran besar untuk melaksanakan, tapi mesti cuba.
"Dalam tempoh (setahun) ini berapa boleh kita selesaikan, jadi ini sasaran yang saya letakkan kepada RAC supaya cepatkan proses untuk sediakan lif di stesen besar yang belum ada lif.
"Saya telah minta pihak RAC bersama KTMB untuk buat audit dan bentang laporan di mana stesen yang memerlukan, perlu diberi keutamaan.
"Audit patut siap dalam kadar segera , dalam tempoh sebulan mesti dibentangkan kepada pihak kementerian," katanya pada sidang media selepas melancarkan aplikasi Railway Assets Intelligence System (RAILS) hari ini.
Beliau berkata, proses bagi menyediakan kemudahan terbabit terutama kepada golongan kurang upaya (OKU), warga emas dan ibu mengandung wajar disediakan dengan kadar segera.
"RAC patut memainkan peranan ini, iaitu hasil mereka peroleh dikembalikan dalam bentuk kemudahan iaitu fokus tahun ini kita hendak selesaikan atau tambah baik kemudahan lif yang sangat penting kerana ada stesen komuter yang mempunyai dua platform.
"(Yang ada platform) perlu guna jambatan untuk menyeberang, tapi jambatan ini untuk orang biasa tapi bagi OKU, warga emas wanita mengandung.. ini menyusahkan mereka malah ini juga maklum balas yang selalu saya terima daripada penumpang.
"Jadi saya nak cepatkan proses, supaya proses dipendekkan dan dapat disediakan kemudahan dengan kadar segera," katanya.
Tambah beliau, RAC juga agensi yang mempunyai hasil dan pendapatan besar yang boleh digunakan untuk membantu meningkatkan kemudahan dan keperluan stesen keretapi.
"Kita juga mahu tadbir urus baik dipatuhi, sebarang perbelanjaan mesti dibawa kepada pihak lembaga pengarah untuk pertimbangan dan kelulusan, termasuk juga lantikan kontraktor yang mesti ikut dasar kerajaan seperti tender dan sebagainya," katanya.
Sementara itu mengulas mengenai RAILS, Loke berkata, pendekatan itu menawarkan kemudahan permohonan sewaan aset kereta api secara atas talian bagi memudahkan orang ramai menjadi rakan niaga RAC.
RAILS dibangunkan RAC sejak 2017 dengan menawarkan pelbagai modul dengan fokus utama kepada pengurusan sewaan aset keretapi, namun aplikasi hanya boleh diakses menerusi komputer pada ketika itu.
Pada 2021, aplikasi dibangunkan melalui peranti mudah alih dan boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Playstore, Apps Store dan Huawei Apps Gallery.