KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan sebanyak 60 syarikat gergasi bersetuju membantu kerajaan merangkumi pelbagai pendekatan, khususnya projek berkaitan kepentingan rakyat.
Inisiatif itu sedang berjalan dan ia membabitkan pelbagai syarikat multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Ada 60 syarikat, termasuk syarikat multinasional yang diminta menampung, umpamanya permintaan bagi Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Ini termasuk Sunway Bhd, Berjaya Corporation Bhd, termasuk syarikat yang terbabit dengan Chinese Chamber of Commerce.
"Jadi kita minta mereka (syarikat) ini bantu secara langsung sama ada projek rakyat miskin atau dalam kes ini, secara khusus, bagi TVET," katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) mengenai pembabitan syarikat gergasi terutama bagi membantu rakyat miskin.
Sebagai contoh, Anwar berkata, Kumpulan Albukhary menawarkan bagi mengambil alih beberapa institusi TVET iaitu di Pekan, Pahang dan Tanjung Malim, Perak.
"Bagi TVET secara khusus, bantuan syarikat besar untuk latih anak muda kita yang majoritinya Melayu Bumiputera untuk tingkatkan kemahiran.
"Ini membolehkan mereka dapat peluang pekerjaan lebih baik dengan upah lebih tinggi," katanya.
Menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berkenaan cukai sepatutnya digunakan untuk membantu golongan susah, Anwar berkata, pendekatan kerajaan sekarang adalah berbeza, dengan syarikat besar diminta menyalurkan bantuan kewangan secara terus kepada golongan sasar dan bukannya memberi sumbangan kepada parti politik atau individu perseorangan.
"Saya memilih memanggil (tokoh korporat) Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, (dan untuk) memberi manfaat kepada negara dan bagi kepentingan pesawah miskin, (saya) minta dia derma kepada pesawah secara langsung.
"RM60 juta kepada pesawah; dan dengan 30 peratus keuntungan yang dicatat lebih 20 tahun, ini kali pertama minta dia berikan 30 peratus keuntungan bersih kepada pesawah padi," katanya.
Menjawab soalan asal Cha berkenaan tuduhan bahawa Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng telah membatalkan pengecualian cukai Yayasan Albukhary semasa menjadi Menteri Kewangan, Anwar mengesahkan Guan Eng tidak pernah membuat sebarang pembatalan berhubung perkara itu.
Anwar berkata dakwaan itu tidak benar, dan hakikatnya kelulusan pengecualian cukai Yayasan Albukhary hanya dibuat pada 25 Februari 2021.
"Hakikatnya kelulusan hanya dibuat pada 25 Februari 2021 iaitu kelulusan meluluskan sesuatu pengecualian cukai yang di luar kebiasaannya yang membabitkan kedua-dua Yayasan Albukhary dan Kumpulan (Syarikat) Albukhary," katanya.
Anwar berkata mengikut Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53), pengecualian cukai bukan kuasa menteri atau perdana menteri, sebaliknya ia kuasa mutlak Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri.