Isnin, 20 March 2023 | 8:57pm
FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Selangor utamakan khidmat imam tempatan, pelajar tahfiz sempena Ramadan

SHAH ALAM: Larangan atau sekatan menggunakan khidmat imam luar negara bagi pelaksanaan solat tarawih di semua surau dan masjid di negeri ini sepanjang Ramadan sudah ditetapkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sejak 2015.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, larangan itu dikuatkuasa bagi memberi laluan sepenuhnya kepada imam tempatan, asatizah, graduan dan pelajar-pelajar tahfiz tempatan yang juga menguasai aspek al-Quran yang baik dan mempunyai ilmu pengetahuan Fiqah sebagai imam.

Katanya, pembabitan anak tempatan dan pelajar keluaran sistem pendidikan JAIS dalam pelbagai disiplin ilmu agama sebagai imam solat tarawih dibuat supaya Ramadan dapat dijadikan sebahagian daripada medium latihan, pengukuhan, keyakinan dan outreach para huffaz bersama masyarakat.

"Ketetapan juga dibuat sebagai antara usaha menyediakan imam-imam pelapis untuk mengisi keperluan imam di masjid dan surau di Selangor pada masa hadapan.

"Keputusan ini juga dibuat bagi mengatasi wujudnya segelintir individu atau pihak yang menjadi perantara yang menawarkan imam dari luar negara dengan kadar bayaran tertentu, namun dalam masa yang sama menyebabkan peminggiran imam sedia ada, imam tempatan dan huffaz di negeri ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, terdapat juga situasi apabila kehadiran imam luar negara menimbulkan beberapa isu melibatkan perbezaan mazhab dalam pelaksanaan solat dan mengambil kesempatan mengutip derma untuk faedah dan manfaat orang Islam yang tidak mendapat kebenaran mengikut Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.

Beliau berkata, keputusan itu juga selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"JAIS sentiasa bekerjasama rapat dengan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) dalam menyediakan huffaz untuk menjadi imam solat tarawih.

"Pihak masjid dan surau boleh menghubungi Bahagian Pendidikan Islam (BPI) JAIS untuk mendapatkan nasihat dan panduan mengenai perkara ini," katanya.

Berita Harian X