Isnin, 20 March 2023 | 6:15pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Jualan industri francais cecah RM26 bilion

KUALA LUMPUR: Industri francais negara mencecah jualan terbesar bernilai RM26 bilion setakat ini, jauh lebih tinggi berbanding RM14 bilion yang direkodkan pada 2020.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata Laporan Tahunan Perniagaan Francais menyatakan, nilai jualan industri berkenaan meningkat 71 peratus pada 2021.

"Kerajaan menyasarkan 16 industri francais berkembang antara 20 hingga 30 peratus tahun ini," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ewon berkata sehingga Disember 2022, industri francais negara merekodkan 1,197 syarikat francaisor berdaftar dengan 713 daripadanya adalah syarikat francaisor tempatan manakala 428 syarikat francaisor luar negara.

Katanya, sebanyak 55 koperasi terbabit dalam aktiviti francais makanan dan minuman serta sektor perkhidmatan seperti Ar Rahnu X'Change Bank Rakyat bagi sektor perkhidmatan serta Marrybrown dan Gloria Jean's Coffees bagi sektor makanan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) meluluskan pembiayaan berjumlah RM9.9 juta kepada 313 usahawan yang menyertai program transformasi perniagaan (BIT) sehingga 31 Disember tahun lalu.

Katanya, melalui program BIT, usahawan kecil akan dibimbing untuk menaik taraf perniagaan dari segi imej, kualiti perkhidmatan dan konsep perniagaan.

Katanya, ia bertujuan membantu usahawan kecil meningkatkan sumber pendapatan, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan industri francais.

"Pembiayaan di bawah program BIT ini adalah sehingga RM500,000 manakala tempoh pembiayaan sehingga lima tahun.

"Program BIT turut membantu usahawan francaisor memperkenalkan model perniagaan kepada bakal francaisi dengan pakej serendah RM3,700," katanya.

BIT diperkenalkan pada 2013 yang menjadi program transformasi perniagaan untuk usahawan mikro menjadi lebih kompetitif dan sistematik dalam menjalankan perniagaan.

Ewon berkata, sebanyak 140 syarikat daripada pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, peruncitan, perkhidmatan serta pendidikan didaftar di bawah program BIT sejak dilancarkan.

"Enam syarikat berjaya mendapatkan lesen perniagaan francais iaitu MD Food Stuff Sdn Bhd, MFZ Maju Sdn Bhd, QC Group Sdn Bhd, Geliga Sari Sdn Bhd, Akie Group Sdn Bhd dan Otak-Otak Mr Noh (Johor Bahru) Sdn Bhd.

"Bagi pembangunan industri francais di Sabah secara khususnya, PERNAS memperuntukkan pembiayaan RM11.5 juta kepada usahawan francais negeri itu," katanya.

Berita Harian X