Isnin, 20 March 2023 | 3:27pm

3 pelajar dengan nama klasik - Maryam ceriakan 1 Bestari

KANGAR: Kehadiran tiga pelajar dengan nama Maryam menimbulkan kekeliruan kepada guru kelas 1 Bestari, Sekolah Kebangsaan (SK) Sena pada hari pertama persekolahan hari ini.

Walaupun tidak pertalian keluarga, ketiga-tiga mereka Che Maryam Maritza Saiful Afdzan, Maryam Jasmine Amir dan Nur Maryam Khadeeja Masharul cepat mesra dan menyesuaikan diri dengan pelajar lain yang sama-sama memasuki alam persekolahan untuk Sesi Akademik 2023/2024.

Tinjauan di sekolah berkenaan mendapati agak sukar untuk guru kelas berkenaan memanggil nama murid berkenan dengan hanya menggunakan nama 'Maryam' kerana ketiga-tiga mereka akan menyahut pada masa yang sama menyebabkan guru kelas terpaksa memanggil nama mereka bertiga dengan nama penuh masing-masing.

Walaupun kelihatan masih kekok dengan persekitaran sekolah itu, seorang daripada mereka, Maryam Jasmine berkata dia seronok dapat bersekolah pada hari ini kerana dapat berjumpa ramai rakan baru.

"Seronok (datang ke sekolah), saya dapat jumpa kawan dan belajar bersama," katanya ditemui di sekolah hari ini.

Sementara itu, Guru Besar SK Sena, Azhar Darus, berkata kehadiran tiga murid itu memberi sedikit kelainan bagi sesi pembukaan persekolahan kali ini memandangkan mereka menggunakan nama klasik yang jarang digunakan masa kini dan turut ditempatkan dalam satu kelas.

"Pada peringkat permulaan mungkin guru-guru kelas akan mengambil sedikit masa bagi mengenal pasti murid-murid yang mempunyai nama sama ini," katanya sambil menambah 140 pelajar Tahun Satu dan ditempatkan dalam empat kelas di sekolah itu hari ini.

Azhar berkata, pada minggu pertama ini murid akan didedahkan dengan sesi suai kenal bagi membolehkan mereka memahami persekitaran sekolah di samping membina hubungan antara rakan dan guru.

Guru Besar SK Sena, Azhar Darus (tengah) sedang melihat aktiviti yang dilakukan oleh Che Maryam Maritza Saiful Afdzan (tengah), Maryam Jasmine Amir (kiri sekali) dan Nur Maryam Khadeeja Masharul (kanan) pada Hari Pertama Pembukaan Sekolah Sesi Akademik 2023/2024 di SK Sena, Kangar. - Foto NSTP/Aizat Sharif

Che Maryam Maritza Saiful Afdzan (tengah), Maryam Jasmine Amir (kiri sekali) dan Nur Maryam Khadeeja Masharul (kanan) pada Hari Pertama Pembukaan Sekolah Sesi Akademik 2023/2024 di SK Sena, Kangar. - Foto STR/Aizat Sharif

Berita Harian X