Isnin, 20 March 2023 | 2:48pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Kerajaan cadang perkenal Insurans Rahmah, tawar kadar perlindungan berpatutan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang memperkenalkan inisiatif Rahmah dalam sektor insurans bagi membolehkan rakyat menikmati kadar perlindungan yang lebih berpatutan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata setakat ini, sebuah syarikat sudah memberi maklum balas yang baik berhubung cadangan itu.

"Pertama yang beri maklum balas ialah syarikat Etiqa dan saya sudah meminta pegawai untuk mengadakan libat urus untuk kita melihat macam mana kita boleh kita jayakan inisiatif ini.

"Mungkin kita boleh tawarkan insurans Rahmah, sama ada (perlindungan) kenderaan, perumahan, hartanah dan seumpamanya," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kenduri Menu Rahmah di Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, biarpun setakat ini hanya sebuah syarikat memberi maklum balas positif, beliau yakin lebih banyak syarikat akan turut serta apabila ia dilaksanakan.

Mengenai perancangan untuk memperkenalkan insiatif serupa dalam sektor perbankan, beliau akan meminta bantuan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk merealisasikan usaha berkenaan.

"Mungkin minggu depan, kita akan adakan libat urus dengan pihak perbankan pula," katanya.

Terdahulu, beliau mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghadiri Kenduri Menu Rahmah, yang diadakan di Dewan Serba Guna Parlimen.

Kenduri anjuran KPDN itu membolehkan Ahli Parlimen merasai sendiri kualiti makanan yang ditawarkan menerusi insiatif Menu Rahmah, yang dilancarkan kerajaan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, terutama golongan B40.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.

Lebih 2,000 jemputan menghadiri kenduri berkenaan, termasuk Ahli Parlimen bagi menikmati Menu Rahmah secara percuma.

Sebanyak 14 pemain industri, termasuk persatuan penyedia makanan yang menawarkan Menu Rahmah, menyertai kenduri berkenaan.

Antaranya, Mydin, AEON Big, Persatuan Pengusaha Restoran Makanan India Muslim, Pertubuhan Sahabat Tom Yam Prihatin SeMalaysia, PLUS Berhad, Marry Brown Sdn Bhd, Old Town White Coffee, McDonalds Malaysia, Bubblebee, Mios Kitchen dan Temerloh Catering Sdb Bhd.

Perdana Menteri turut dibawa melawat ke semua gerai terbabit untuk melihat menu yang ditawarkan.

Selain menjamu selera, tetamu didendangkan dengan persembahan oleh Kombo Universiti Malaya (UM).

Turut ditayangkan video khas mempamerkan usaha KPDN dalam memperkenalkan inisiatif Menu Rahmah.

Berita Harian X