Isnin, 20 March 2023 | 11:46am

Kemakmuran, keamanan hari ini hasil pengorbanan pejuang terdahulu - KPN

KUALA LUMPUR: Rakyat harus bersyukur atas kemakmuran dikecapi hari ini hasil pengorbanan perwira negara yang terdahulu, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Katanya, pengorbanan setiap pejuang tanah air terutama anggota pasukan keselamatan, adalah demi memastikan kedaulatan setiap inci bumi Malaysia kekal terpelihara.

Beliau menjelaskan, setiap titisan darah serta jerih perih pahlawan terdahulu adalah untuk keamanan dinikmati rakyat negara ini, dan ia akan sentiasa terus diperjuangkan setiap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Banyak episod cabaran dilalui seluruh warga pasukan yang menyaksikan betapa utuhnya institusi kepolisan yang telah lahir sejak 25 Mac 1807.

"Patik dan warga pacal-pacal (pegawai dan anggota PDRM) sekalian memperbaharui sumpah taat setia kepada Raja dan negara, serta berikrar untuk memastikan keselamatan setiap rakyat dan kedaulatan negara akan terus terpelihara.

"Patik dan warga pacal-pacal sekalian juga pasak tekad untuk melaksanakan tugas secara profesional demi mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang," katanya dalam ucapan sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan.

Al-Sultan Abdullah diiringi Acryl Sani berkenan memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan pada Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 di PULAPOL, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
Al-Sultan Abdullah diiringi Acryl Sani berkenan memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan pada Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 di PULAPOL, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah

Acryl Sani berkata, dengan mengekalkan tema 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada', seluruh warga PDRM akan sentiasa 'Sedia Berkhidmat' dan berdiri teguh bawah naungan Panji-Panji Sang Saka Biru untuk memikul tanggungjawab serta amanah mengekalkan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan masyarakat serta tanah air.

"PDRM akan sentiasa melindungi rakyat dan tanah air daripada sebarang bentuk ancaman jenayah sehinggalah kepada cabaran krisis kesihatan serta bencana alam.

Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 diketuai oleh Deputi Superintendan Mohd Zulfadhi Zulkifli, bersama 102 anggota Kawalan Kehormatan dari Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) PDRM.

Turut terbabit seramai 543 pegawai kanan dan pegawai rendah pelbagai jabatan polis dalam kumpulan 'detachment' meliputi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jabatan Pengurusan, Jabatan Siasatan Jenayah serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.

Selain itu, istiadat juga membabitkan lintas hormat tiga helikopter di ruang udara dengan membawa bendera Jalur Gemilang dan Sang Saka Biru, pancaragam, persembahan pantomim memperingati 10 tahun insiden pencerobohan Kampung Tanduo di Lahad Datu, deklamasi sajak serta lafaz ikrar setia.

Berita Harian X