Ahad, 19 March 2023 | 7:34pm

Rakaman video pengundi bersumpah undi PAS dikemuka pempetisyen dalam perbicaraan

KUALA TERENGGANU: Rakaman video memaparkan seorang lelaki meminta pengundi bersumpah mengundi PAS, antara yang dikemukakan pihak pempetisyen ketika perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang di Mahkamah Pilihan Raya di sini, hari ini.

Selain itu, pihak pempetisyen, Jasmira Othman yang diwakili peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun turut mengemukakan rakaman audio suara Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menghadiri satu program Semarak Gelombang Rakyat Bersama Perikatan Nasional (PN) di Ladang Alam Warisan Kampung Tengah Seri Menanti Negeri Sembilan pada 21 Januari lalu.

Rakaman berkenaan adalah jawapan diberikan Abdul Hadi ketika ditanya wartawan mengenai petisyen difailkan Badan Perhubungan UMNO Terengganu untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Ketika ditanya sama ada beliau mengenali Nordin Abd Jalil iaitu lelaki yang ada dalam video berkenaan, Abdul Hadi yang juga saksi ketiga pembicaraan bagi pihak responden memaklumkan mengenali Nordin secara umum kerana beliau seorang ahli biasa PAS dan tinggal di kawasan Parlimen Marang.

Beliau berkata, hanya mengetahui Nordin adalah ahli jawatankuasa (AJK) PAS kawasan Marang selepas ditunjukkan minit mesyuarat agung PAS bagi kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Abdul Hadi tidak bersetuju dengan soalan peguam pempetisyen bahawa pengagihan wang kepada pengundi Parlimen Marang bertujuan meraih undi bagi pihaknya yang bertanding pada PRU15.

"Yang itu (angkat sumpah), saya tidak tahu, tidak ada maklumat dan kalau saya tahu memang kita tak izinkan sogokan rasuah dilakukan," katanya.

Abdul Hadi juga memaklumkan tidak mempunyai maklumat bahawa ada AJK PAS kawasan Marang memberi wang kepada pengundi luar dalam tempoh berkempen pada PRU15.

Mengenai rakaman audio dikemukakan peguam pempetisyen, Abdul Hadi mengesahkan kehadirannya pada program berkenaan dan ia adalah rakaman suaranya ketika ditanya wartawan.

Beliau menegaskan semua calon dan wakil calon sudah dimaklumkan tidak boleh memberi wang kepada pengundi, namun ia terpulang kepada orang awam untuk memberi wang.

Terdahulu, Abdul Hadi yang diwakili peguam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu pada jam 9 pagi.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN memberi keterangan lebih satu jam untuk perbicaraan yang dilakukan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Februari lalu menolak bantahan awal dikemukakan Abdul Hadi untuk membatalkan petisyen keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang yang difailkan calon BN.

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Abdul Hadi ketika hadir memberi keterangan di mahkamah hari ini. NSTP/ GHAZALI KORI
Abdul Hadi ketika hadir memberi keterangan di mahkamah hari ini. NSTP/ GHAZALI KORI
Berita Harian X