KUALA LUMPUR: Polis sudah mengambil keterangan beberapa saksi dalam siasatannya terhadap program Jom Ziarah Gereja, yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata setakat ini keterangan daripada pengadu dan beberapa saksi sudah direkodkan.
"Kita juga sudah menghubungi (pemimpin) NGO terbabit dan individu itu sudah memberi aku janji untuk menghadirkan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada Isnin ini untuk memberi keterangan.
"Selepas kertas siasatan lengkap, kita akan rujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya," katanya kepada media selepas Program High Profile Policing Bersama Ketua Polis Kuala Lumpur di Esplanade, Kuala Lumpur Convention Centre, di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan Program 'Jom Ziarah Gereja' yang dijadualkan semalam di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, Klang, sudah dibatalkan oleh pihak penganjur.
Program berkenaan adalah satu inisiatif bawah 'Projek Artikel 11' diterajui Impact Malaysia iaitu NGO yang bernaung di bawah KBS.
Inisiatif program itu dikatakan bertujuan membuka minda belia Malaysia mengenai budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa melalui lawatan serta aktiviti sukarelawan di Lembah Klang.
Selasa lalu, Menteri KBS, Hannah Yeoh dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, mendakwa program ziarah gereja itu tidak membabitkan individu beragama Islam.
Beliau dilaporkan berkata, program itu juga bukan bertujuan memberi gambaran semua agama yang dianuti rakyat Malaysia adalah sama rata.