KANGAR: Mesyuarat pemilihan UMNO membabitkan tiga bahagian di Perlis semalam menyaksikan perubahan total teraju kepemimpinan bahagian masing-masing bagi penggal 2023-2026.
Muka baharu dipilih menerajui UMNO Bahagian Kangar, Arau dan Padang Besar pada persidangan semalam dengan kejutan terbesar adalah kekalahan bekas Menteri Besar Perlis yang juga Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Azlan Man.
Azlan tewas kepada timbalannya, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya selepas hanya mampu memperoleh 179 undi, ketinggalan jauh kepada Fathul Bari yang mendapat 368 undi.
Pertembungan Azlan dan Fathul Bari sememangnya dinantikan perwakilan Kangar selepas UMNO tewas semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dalam bahagian itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Fathul Bari berkata, kemenangannya bukan kegembiraan yang hakiki, sebaliknya banyak lagi kerja harus dilakukan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada perjuangan UMNO.
"Pada saya bukan soal menang atau kalah menjadi topik utama. Beliau (Azlan) saya akui mempunyai sumbangan besar dalam gerak kerja politik dan UMNO di Kangar secara keseluruhannya, cuma saya merasakan pada kali ini, orang mungkin mahu melihat perubahan.
"Apapun, segala perancangan yang diatur sebelum ini akan saya laksanakan secara serius untuk memperkasakan kembali UMNO agar ia relevan, khususnya untuk rakyat di Kangar," katanya ketika ditemui.
Katanya, perkara ingin dilakukannya terlebih dulu ialah pemerkasaan jentera parti disebabkan kebajikan ahli di akar umbi adalah keutamaan.
"Pelan saya dalam masa terdekat ini untuk membuka pejabat UMNO Bahagian Kangar kerana kita masih belum ada pejabat. Ia tentunya simbolik kepada kebangkitan baharu 'Bangkit 2.0' seperti dinyatakan Presiden UMNO.
"Perkara ini bukan untuk menunjukkan kemewahan tetapi kita mahu ada satu pusat sehenti kepada perkara yang sudah saya rencanakan sejak awal lagi untuk kebaikan UMNO Kangar yang sifatnya cakna kepada rakyat," katanya.
Pemilihan UMNO Bahagian Padang Besar menyaksikan bekas EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan dan Bantuan Bencana serta Hubungan dan Kerjasama Sempadan Perlis, Ruzaini Rais diangkat sebagai ketua bahagian.
Beliau menggantikan bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang dipecat parti kerana bertanding sebagai calon bebas pada PRU15.
Terdahulu, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman dipilih menerajui bahagian selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan kali ini, menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim yang dipecat parti.