KOTA BHARU: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (КРКТ) memperuntukkan RM52.2 juta kepada Kelantan sepanjang tahun lalu.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata ia membabitkan tiga projek yang dilaksanakan di negeri itu.
Katanya, sepanjang tahun lalu juga sebanyak 1,237 projek menerusi Bajet Pembangunan berjumlah RM34.05 juta diluluskan kepada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri yang meliputi skop projek infrastruktur, kemudahan awam, sosioekonomi dan keselamatan.
"Setakat Mac tahun ini pula, sebanyak sembilan projek dengan peruntukan berjumlah RM3.55 juta sudah diluluskan.
"Selain daripada peruntukan Bajet Pembangunan, KPKT juga memberikan bantuan melalui Bajet Mengurus kepada 12 PBT di Kelantan.
"Ia termasuklah pemberian Geran Tahunan berjumlah RM22 juta untuk membantu tadbir urus PBT dan bantuan bayaran bil elektrik meliputi lampu jalan, lampu isyarat sebanyak RM2.06 juta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pasar Tok Kenali, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Beliau berkata, menerusi peruntukan itu termasuklah peruntukan yang diumumkan menerusi Belanjawan Malaysia Madani baru-baru ini, menunjukkan Kelantan dan negeri pembangkang lain tidak pernah dipinggirkan.
"Di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semua negeri dilayan secara adil, tiada yang terpinggir atau dianak tiri.
"Peruntukan yang disalurkan itu adalah tanda sentuhan kasih sayang kerajaan kepada Kelantan dan negeri lain," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Pasar Tok Kenali, Kor Ming berkata, ia membabitkan pembinaan semula pasar sedia ada seluas 1.38 hektar membabitkan kos RM4 juta.
"Pembinaan projek ini bermula pada 17 September 2020 dan siap sepenuhnya pada Ogos 2022.
"Secara fizikalnya, pembangunan projek ini membabitkan pembinaan sebuah pasar harian yang merangkumi 29 unit gerai dan 1 unit stor.
"Projek ini memberi manfaat kepada hampir 90 peniaga tempatan bagi meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi mereka," katanya.