Ahad, 19 March 2023 | 12:01pm

Kena waran tangkap, ADUN Bukit Payung akhirnya hadir mahkamah

KUALA TERENGGANU: Selepas dikenakan waran tangkap kerana gagal ke Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada Khamis lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah akhirnya hadir hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu tiba di mahkamah pada jam 9.03 pagi sebagai saksi bagi perbicaraan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Marang.

Mohd Nor gagal hadir untuk menyambung keterangannya pada Khamis lalu, menyebabkan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya mengeluarkan waran tangkap.

Waran tangkap itu dikeluarkan mahkamah selepas dimohon peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman, namun Mohd Nor memaklumkan tidak dapat hadir kerana terbabit dengan program kerajaan negeri yang tidak dapat dibatalkan.

Katanya, kelewatan peguam pempetisyen memberi makluman kepadanya untuk hadir ke mahkamah antara sebab ketiadaannya pada Khamis lalu.

Selain Mohd Nor, dua saksi lain yang turut dipanggil untuk memberi keterangan ialah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Februari lalu menolak bantahan awal yang dikemukakan Abdul Hadi untuk membatalkan petisyen keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Marang yang difailkan calon Barisan Nasional (BN).

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Petisyen membabitkan tiga kerusi Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU-15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

ADUN Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah hadir untuk menyambung memberi keterangan di Mahkamah Pilihan Raya Terengganu, hari ini. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
ADUN Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah hadir untuk menyambung memberi keterangan di Mahkamah Pilihan Raya Terengganu, hari ini. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Berita Harian X