Ahad, 19 March 2023 | 9:46am
Sebanyak 70 pusat pemindahan sementara yang menempatkan mangsa banjir di Johor masih beroperasi. - Foto fail
Sebanyak 70 pusat pemindahan sementara yang menempatkan mangsa banjir di Johor masih beroperasi. - Foto fail

Banjir: Hanya Batu Pahat, Segamat masih terjejas

JOHOR BAHRU: Situasi banjir di Johor terus menunjukkan perkembangan yang baik apabila jumlah mangsa banjir terus berkurangan setakat jam 8 pagi ini, berbanding malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata jumlah mangsa banjir setakat ini tinggal 17,125 orang (4,907 keluarga) berbanding 19,041 mangsa (5,424 keluarga) pada jam 8 malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor memaklumkan, semua mangsa itu kini ditempatkan di 70 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi.

"Sehingga kini, masih terdapat dua daerah yang terjejas akibat banjir iaitu Batu Pahat dan Segamat.

"Mangsa banjir di Batu Pahat kini seramai 17,123 orang (4,906 keluarga) di 69 PPS, manakala Segamat kekal dengan kepada dua orang mangsa banjir (satu keluarga) di satu PPS," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Satu daripada sekolah yang masih terjejas akibat banjir di Sekolah Kebangsaan Seri Mendapat, Batu Pahat. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tidak mengeluarkan sebarang amaran hujan lebat, mahu pun ribut petir pagi ini.

Berdasarkan laporan cuaca sebenar pula menunjukkan semua daerah dilaporkan cerah kecuali Kota Tinggi yang hujan pagi ini.

Pada masa sama, terdapat lima jalan di Batu Pahat yang masih ditutup akibat banjir, namun dibuka untuk kenderaan berat saja.

Jalan yang masih terjejas akibat banjir adalah Jambatan Sri Dayung di Jalan Parit Haji Arif atau Sri Dayung; Jambatan Parit Jambi di Jalan Parit Jambi; Klinik Kesihatan Sri Medan di Jalan Haji Arif; sepanjang Jalan Parit Warijo dan Kampung Sri Bengkal, Jalan Sri Bengkal.

Berita Harian X