KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, mendahului saingan tujuh calon lain, untuk meraih kemenangan bagi mengisi slot jawatan Naib Presiden pada pemilihan UMNO kali ini.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang, memperoleh 97 undi, melepasi separuh dari 189 bahagian UMNO yang bersidang semalam.
Turut menghampiri kemenangan, penyandang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang sudah memperoleh 90 undi setakat jam 1.15 pagi ini.
Berada di kedudukan ketiga, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dengan 80 undi.
Tiga calon yang memperoleh undi tertinggi dari bahagian-bahagian akan mengisi tiga slot jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan UMNO kali ini.