KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berjaya memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Paya Besar dalam pemilihan UMNO sesi 2023-2026, hari ini.
Mohd Shahar menang dengan menewaskan penyandang, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman, selepas bekas Timbalan Menteri Kewangan 1 itu memperoleh 338 undi perwakilan.
Dalam pemilihan kali ini, Mohd Shahar turut menawarkan diri merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO, namun tewas dalam pertembungan empat penjuru, selepas dimenangi Dr Mohamad Akmal Salleh.
Ini juga cubaan kedua Mohd Shahar untuk merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO selepas pernah mencuba nasib pada pemilihan 2018, namun ketika itu tewas kepada Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman pula menepati ramalan apabila berjaya merampas semula jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus daripada Dr Apli Yusoff, selepas menerima 479 undi.
Dalam perkembangan sama, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin pula berjaya mempertahan jawatan Ketua UMNO Bahagian Maran dengan menerima 509 undi.
Shahaniza yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Puteri UMNO Pahang juga menawarkan diri untuk merebut jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), dan kini berada di kedudukan ke-9 daripada 95 calon dengan 54 undi.
Hanya 25 calon yang mendapat undian tertinggi akan memenangi jawatan MKT UMNO.