Sabtu, 18 March 2023 | 10:44pm
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendahului saingan tujuh calon Naib Presiden dengan meraih 63 undi setakat jam 10 malam ini. - foto fail BERNAMA
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendahului saingan tujuh calon Naib Presiden dengan meraih 63 undi setakat jam 10 malam ini. - foto fail BERNAMA

Wan Rosdy hampir pasti jadi Naib Presiden

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hampir pasti menjawat Naib Presiden UMNO selepas meraih satu pertiga daripada 189 undian pada pemilihan parti itu, setakat ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang itu yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mendahului tujuh pesaingnya dengan 63 undian, setakat jam 10.36 malam ini.

Mengekori momentum saingan itu ialah penyandang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan 58 undian, sekali gus meletakkan beliau dalam keadaan selamat bagi mempertahankan jawatan berkenaan.

Saingan diikuti Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang meraih 45 undi.

Penyandang Ahli MKT UMNO yang juga calon tunggal wanita bagi jawatan berkenaan, Datuk Seri Azalina Othman Said pula berada di kedudukan keempat dengan 35 undi.

Pesaing lain, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula meraih 26 undi, diikuti Datuk Seri Hasni Mohamad (17 undi) dan Datuk Seri Mahdzir Khalid (11 undi).

Sementara itu, calon kurang dikenali yang juga ahli UMNO Iskandar Puteri, Dr Mohd Yusof Musa gagal meraih sokongan sejak proses pengiraan undi dijalankan mulai jam 3 petang tadi.

Berita Harian X