SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tidak akan berlaku zalim terhadap sesiapa termasuk pemimpin pembangkang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan ia bukan alasan untuk penguat kuasa tidak mengambil tindakan seperti mendakwa pemimpin pembangkang.
"Apa yang mereka (pembangkang) bawa ini (tuduh) pertuduhan palsu. Saya tak sanggup fitnah orang dan saya mahu di umur ini dengan kepayahan (yang saya lalui) dulu (jadi) sebagai pengajaran dan peringatan.
"Ia supaya tidak ada kezaliman kepada tokoh-tokoh pembangkang. Jadi jangan buat alasan, seolah-olah parti pembangkang itu tidak boleh didakwa," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan sempena Kongres Khas PKR di sini hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim menyifatkan sikap pendendam Anwar berhubung pendakwaan terpilih lebih teruk berbanding ketika pentadbiran pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Merujuk pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta, Awang berkata ia adalah satu permulaan daripada tindakan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) melontarkan pertanyaan kepada pemimpin PAS berhubung apa bentuk kezaliman yang beliau lakukan kerana beliau hanya kerana mahu membersihkan negara ini dari perasuah.
Katanya, beliau cuma mahu menghentikan amalan rasuah yang dilakukan pemimpin terdahulu daripada terus menular sehingga merosakkan negara dianggap zalim.
"Zalim apa? Kamu tahukah apa kes ini? Kamu bacakah pertuduhan dia?
"Kamu nak pertahankan orang atau parti yang ambil RM200 juta, RM300 juta daripada syarikat-syarikat, ataupun daripada keputusan kerajaan dan habuan itu dipindahkan daripada parti.
"Itu pun nak dipertahankan, Islam apa begini? Saya tidak mengerti. Bagaimana kita boleh perkatakan kita pertahankan idealisme kemudian kata (mendakwa) sebagai Melayu tulen," katanya.
Mengulas lanjut, Presiden PKR itu menegaskan beliau sentiasa menekankan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara dan badan kehakiman agar harus kembali bebas sebagai institusi yang ada integriti.
"Saya tegaskan kepada institusi ini, jangan melindungi perasuah kerana negara sudah rosak.
"Rakyat sepatutnya mendapat pembelaan dan negara boleh dipacu dengan hebat, tetapi kerana penyakit ini (rasuah) menyebabkan semua menjadi rosak.
"Kadang-kadang dalam perbincangan dengan pihak berkuasa, saya tidak tahu di mana nak mulakan sebab dalam setiap fail, ada masalah," katanya.