KUALA LUMPUR: Setiap keputusan membabitkan hal ehwal agama Islam perlu dihormati berikutan ia terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata setiap perkara berkaitan agama Islam adalah di peringkat Majlis Agama Islam negeri masing-masing dan Kerajaan Persekutuan tidak campur tangan.
"Bagaimanapun diakui ada khilafnya, sebab itu kita nampak perbezaan pandangan di setiap negeri apabila menyentuh mengenai program Jom Ziarah Gereja itu.
"Apa pun Kerajaan Persekutuan tidak campur tangan dan menghormati setiap keputusan ditetapkan oleh kerajaan negeri masing-masing," katanya ketika ditemui pada Program Townhall Ikon Nasional Peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai tular poster Impact Malaysia yang mengajak belia bukan Kristian untuk menyertai program Jom Ziarah ke sebuah gereja di Klang, Selangor.
Poster itu menerangkan Projek Artikel 11, mendedahkan belia kepada agama berbeza menerusi aktiviti lawatan dan sukarelawan untuk menjadikan Malaysia lebih inklusif.
Bagaimanapun, program dikendalikan Impact Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dijadualkan diadakan di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, Klang, hari ini, dibatalkan oleh pihak penganjur.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Impact Malaysia, Ahmed Faris Amir ketika dihubungi BH kelmarin, berkata program dibatalkan susulan keputusan Menteri KBS, Hannah Yeoh di Parlimen, baru-baru ini.