Sabtu, 18 March 2023 | 7:24pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

Penganjuran program 'Jom Ziarah Gereja' tertakluk pada kerajaan negeri

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada membenarkan pelaksanaan Program 'Jom Ziarah Gereja' atau sebaliknya tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Susulan itu, Mohd Na'im berkata, beliau menghormati sebarang keputusan kerajaan negeri berhubung perkara itu.

"Sebab perkara ini ada khilaf yang berlaku, ada perbezaan pandangan di situ dan saya menghormati (keputusan) di peringkat negeri.

"Sebab itu, ada negeri yang melarang dan ada yang membenarkan (program Ziarah Gereja)," katanya selepas majlis townhall Ikon Nasional peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Pulau Pinang tidak melarang mana-mana pihak menganjurkan program yang mengajak umat Islam melawat rumah ibadat bukan Islam di negeri itu bagi memahami agama lain, selagi tidak bercanggah dengan akta dan enakmen sedia ada.

Bagaimanapun, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melarang pelaksanaan program itu di negeri berkenaan.

Program 'Jom Ziarah Gereja' adalah inisiatif di bawah Projek Artikel 11 diterajui Impact Malaysia iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Selasa lalu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat berkata, program 'Jom Ziarah Gereja' tidak membabitkan individu beragama Islam.

Pada majlis townhall Ikon Nasional itu, Mohd Na'im turut menyerahkan bantuan awal pendidikan kepada 850 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) membabitkan bantuan tunai, komputer riba dan beg keperluan asas berjumlah RM8 juta.

Program anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Bank Rakyat itu adalah program perkongsian ilmu daripada tokoh ternama yang berjaya dalam bidang masing-masing dengan pelajar IPT.– BERNAMA

Berita Harian X