SHAH ALAM: Berbanding rentak nada perwakilan pada beberapa perhimpunan sebelum ini, Kongres Khas PKR tahun ini kedengaran lebih 'sopan' dan fokus dengan majoriti pembahas membangkitkan mengenai kepentingan perpaduan dan persefahaman sama ada dalam kalangan rakyat dan parti dalam kerajaan, pembangunan prasarana dan kestabilan negara.
Ada juga perwakilan yang mempertikaikan tindakan pembangkang yang berterusan menghentam dan memperlekeh kerajaan walaupun agenda pembangunan sudah dibentangkan Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun tidak ada seorang pun perwakilan yang menyentuh mengenai isu semasa yang membelenggu rakyat seperti kos sara hidup, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kemungkinan ekonomi negara terjejas tahun ini.
Perwakilan luar bandar dari Terengganu, Sabah, Sarawak dan Kelantan menegur kepimpinan parti untuk meningkatkan usaha menyampaikan maklumat kepada rakyat, menaiktaraf kemudahan infrastruktur rakyat dan memperluaskan capaian internet ke kawasan luar bandar.
Perwakilan lain termasuk wakil Wanita dan Pemuda sebulat suara mengingatkan anggota PKR yang berada dalam kabinet Kerajaan Perpaduan untuk kekal fokus berkhidmat kepada rakyat dan tidak terlalu leka atau hanyut dengan jawatan yang diamanahkan.
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek, berkata PKR komited sebagai sebuah parti yang mempertahankan ketinggian maruah manusiawi dan nilai ihsan.
"Hal ini hadir dengan kepercayaan untuk bertahan di barisan idealisme perjuangan dan yakin bahawasanya Perdana Menteri ini bukan hanya pejuang reformasi, tetapi juru islahi.
"Kita tidak boleh merisikokan ketempangan pentadbiran," katanya dalam ucapan penggulungan dalam Kongres Khas PKR 2023 hari ini. Ini adalah kongres pertama PKR sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan Perdana Menteri.
Menurut Fadhlina, sepanjang dua dekad idealisme parti Madani ini adalah mencuci segala kebejatan dan kebobrokan.
Sementara itu Setiausaha Agong PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution, berkata pembangkang hanya hebat bersuara di luar parlimen, namun tidak seorang pun berani berdebat dengan Anwar di Parlimen.
"Tak kira Pagoh, Marang atau mana-mana pemimpin pembangkang berdebat dengan Perdana Menteri dalam parlimen seperti anak jantan, di luar mereka hebat tetapi hakikatnya mereka tidak berani berdepan dengan Anwar di Parlimen," katanya.
Perwakilan Pulau Pinang Amir Md Ghazali berkata adalah penting bagi akar umbi parti memahami dan membantu mengukuhkan kerjasama baharu PKR dengan bekas seteru politiknya dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) kerana kedua-dua gabungan itu adalah rakan kongsi dalam Kerajaan Persekutuan.
"Kita perlu diberi arahan daripada pimpinan pusat mengenai kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN sebelum menghadapi pilihan raya negeri akan datang," katanya.
Beliau mendakwa konsep Madani dan kerjasama parti dengan BN belum sampai ke peringkat akar umbi PKR.
Perwakilan Sabah, Zaidi Jatil bersetuju dengan Amir berkenaan kepentingan untuk menjalin perpaduan bagi pakatan politik baharu itu untuk bertahan dalam tempoh penuh pilihan raya selama lima tahun demi kestabilan negara.
"Kita perlu memperkukuh kerjasama dalam parti komponen kerajaan perpaduan.Saya tahu ini bukan kerajaan yang diterajui sepenuhnya oleh pemimpin PH tetapi dibentuk melalui kerjasama dengan parti lain," katanya.