KOTA TINGGI: Ahli UMNO diingatkan supaya terus memberi sokongan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ahli UMNO perlu ingat bahawa Ahmad Zahid juga berperanan sebagai Timbalan Perdana Menteri, dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Katanya, pembabitan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini dilihat mampu menjadi formula untuk parti itu berdepan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
"Bagi saya, kita kena terima hakikat bahawa PRU15 kita ada 30 kerusi bawah Barisan Nasional (BN), kemudian Presiden UMNO menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan, saya rasa kita kena terus beri sokongan sebab formula inilah yang akan bawa kita berdepan dengan PRU16.
"Saya pun tidak pernah sangka bahawa Pakatan Harapan (PH) boleh menjadi rakan kongsi kerana bila tengok dengan Perikatan Nasional (PN) mungkin sebab ada persamaan, banyak daripada mereka terdiri dari orang Umno yang keluar parti atau dikeluarkan.
"Tetapi, sekarang ini hubungan pasangan (Kerajaan Perpaduan) ini agak berlainan, formula betul-betul berlainan jadi saya lihat sebagai satu perkara yang menarik," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, yang membuat hantaran di media sosial mengajak perwakilan UMNO supaya tidak mengundi 'geng' Ahmad Zahid pada pemilihan parti kali ini.
Tun Faisal yang juga bekas Setiausaha Akhbar Tan Sri Annuar Musa sebelum ini lantang mengkritik kepimpinan UMNO dan sudah pun dipecat dari parti awal tahun ini selepas dua tahun digantung keahlian.
Terdahulu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang dan penyandang Ketua UMNO Bahagian Pengerang, menghadiri mesyuarat perwakilan bahagian itu di Lotus Desaru Beach Resort di sini, hari ini.
Azalina berkata, beliau yang sudah menjadi wakil rakyat lebih 20 tahun melihat cabaran politik pada masa kini adalah disebabkan landskap pengundi yang berubah.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), berkata perubahan berlaku disebabkan cita rasa pengundi yang membentuk parti politik bukan seperti dahulu apabila parti politik yang membentuk pengundi.
"Sekarang, pengundi yang bentuk parti politik sebab pengundi sekarang tidak ada kesetiaan macam dahulu kepada parti politik.
"Parti Melayu kini sudah banyak dan UMNO sebagai parti lama dalam formula dan dalam acuan keadaan yang baharu. Itu yang kita hendak isi acuan ini, kepimpinan UMNO mesti kepimpinan yang boleh isi acuan ini.
"Pengundi punya ukuran sudah lain dan cita rasa juga berubah.
"Mungkin Melayu yang ada tidak semestinya mereka terima ideologi yang ditawarkan UMNO, orang Melayu hari ini lebih berani, lebih bijak, lebih mempunyai kemahiran yang lebih penting ada keberanian dan kita tengok anak-anak Melayu ada juga minat pada parti DAP. Tidak semestinya Melayu masuk PAS dan UMNO," katanya.