Sabtu, 18 March 2023 | 3:10pm

Tok Ben ambil alih UMNO Bahagian Arau, selepas 30 tahun dikuasai Shahidan

KANGAR: Selepas hampir 30 tahun UMNO Bahagian Arau berada di bawah dominasi Datuk Seri Shahidan Kassim, akhirnya teraju kepemimpinannya kini secara rasmi kini diambil alih oleh Datuk Rozabil Abd Rahman.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Arau daripada 2013 hingga 2018 yang juga calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu itu menang jawatan berkenaan tanpa bertanding pada Pemilihan UMNO kali ini.

Rozabil atau cukup dikenali sebagai Tok Ben, ketika ditemui berhasrat untuk membawa perubahan besar terhadap kepimpinan parti itu pada peringkat bahagian berkenaan khususnya dalam aspek pelaksanaan program dengan pendekatan terkini.

"Saya ada cara saya sendiri (dalam memimpin UMNO Arau) dan tak mungkin saya akan lakukan seperti kepimpinan lalu.

"Sudah tiba masanya untuk UMNO Bahagian Arau ini bergerak ke hadapan tanpa dibayangi kepimpinan masa lalu.

"Cabaran yang perlu dihadapinya selepas ini adalah mengisi jawatan ini dengan sebaiknya dan saya melihat kejayaan menang tanpa bertanding ini adalah isyarat yang diterjemahkan perwakilan yang mahukan saya membawa UMNO Arau dalam pemilihan," katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Arau 2023 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan perjalanan persidangan dan pemilihan bahagian berkenaan, beliau melihat sambutan diterima daripada ahli UMNO bahagian itu adalah amat baik malah setiap pihak turut memberi komitmen masing-masing bagi membantu kebangkitan parti itu.

"Jika diteliti, ramai ahli dan perwakilan yang sebelum ini kurang aktif atau membuat keputusan untuk mengundur diri di bawah kepimpinan lalu, kini kembali membuat kemunculan semula untuk bergiat aktif bersama parti.

"Sepatutnya lepas kita kalah (PRU15), orang akan lari, namun kita dapat lihat ramai juga muka lama membuat kemunculan semula untuk kembali bersama membantu UMNO," katanya.

Dalam pada itu, Rozabil berkata, penambahan ahli baharu buat UMNO adalah di antara agenda yang akan dibawa beliau selepas ini, termasuk mendekati golongan pengundi di kawasan itu.

Tambahnya, pihaknya akan lebih aktif mendekati pengundi dengan menggunakan cawangan-cawangan untuk bergerak ke peringkat bawah.

Pada pemilihan UMNO dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Arau 2023 kali ini menyaksikan empat jawatan teratas parti di bahagian itu seperti Ketua Bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri dimenangi tanpa bertanding.

Selain Rozabil, jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau dimenangi oleh Abdul Azim Abdullah.

Bagi jawatan Ketua Wanita UMNO bahagian itu pula dimenangi bekas Exco Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Negeri Perlis, Rozieana Ahmad, menggantikan penyandang jawatan itu sebelum ini, Datin Seri Shamsiah Yasin yang juga isteri Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang dipecat daripada parti pada Disember tahun lalu.

Manakala, jawatan Ketua Puteri UMNO Bahagian Arau pula dipegang oleh Aida Syafinaz Isa yang turut menang tanpa bertanding.

Rozabil (tengah) sedang meneliti senarai nama perwakilan UMNO Bahagian Arau bersama Ketua Wanita UMNO Arau, Rozieana Ahmad (kiri) dan Pengerusi Tetap Mesyuarat Perwakilan UMNO Arau, Senator Seruandi Saad (kanan) di Dewan ILP Kangar hari ini.
Rozabil (tengah) sedang meneliti senarai nama perwakilan UMNO Bahagian Arau bersama Ketua Wanita UMNO Arau, Rozieana Ahmad (kiri) dan Pengerusi Tetap Mesyuarat Perwakilan UMNO Arau, Senator Seruandi Saad (kanan) di Dewan ILP Kangar hari ini.
Berita Harian X