JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor berharap fenomena banjir termenung yang melanda Batu Pahat, dapat diselesaikan sebelum Ramadan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata banjir di negeri ini beransur pulih, namun terdapat beberapa kawasan khususnya di daerah Batu Pahat membabitkan Sri Medan, Parit Raja dan Parit Jelutong, Senggarang, masih digenangi air akibat banjir termenung.
"Alhamdulillah, saya berkesempatan meninjau operasi pengepaman air banjir di Parit Jelutong, Pintu Air Sungai Senggarang dan Pintu Air Parit Asam Kumbang, pagi ini.
"Kerajaan Johor tidak mahu isu banjir termenung ini berlanjutan bagi tempoh yang lama seperti sebelum ini dan mahu isu banjir termenung di daerah ini dapat diselesaikan sebelum Ramadan.
"Bagi mempercepatkan proses penurunan air, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil pendekatan untuk mengepam air di kawasan itu membabitkan 61 pam air berkapasiti 2, 5, 10 dan 20 cusec, yang sedang beroperasi 24 jam dan 12 lagi pam akan ditambah," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku, kerajaan negeri sedang mengusahakan alternatif lain untuk menyelesaikan isu mengepam air bah termasuk kerja mendalamkan sungai utama di Batu Pahat.
Malah, katanya, misi pasca banjir sukarelawan termasuk Southern Volunteers juga akan melaksanakan kerja pasca banjir ini di daerah Batu Pahat, mulai 19 hingga 22 Mac.
"Kerja pasca banjir selama empat hari dengan kekuatan daripada 11 PBT selain pertubuhan belia, NGO dan badan korporat membabitkan 531 sukarelawan," katanya.