Jumaat, 17 March 2023 | 10:34pm
Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Rujuk MAINPP jika mahu anjur program lawat rumah ibadat bukan Islam

KEPALA BATAS: Sebarang program mengajak umat Islam melawat rumah ibadat bukan Islam di Pulau Pinang, perlu dirujuk kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), terlebih dahulu.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, ia bagi memastikan penganjur mematuhi semua garis panduan, termasuk perkara yang boleh serta tidak boleh dilakukan pada program itu.

"Kita nak penganjur yang nak anjurkan itu pun mestilah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada kaitan dengan perpaduan atau kerja sosial. Kalau bukan, memang tidak digalakkan untuk anjur program sedemikian.

"Sebab itu, kita minta mana-mana pihak nak anjurkan program sedemikian supaya rujuk MAINPP dulu kerana ia perlu dijalankan dalam keadaan terkawal.

"Saya juga pasti perkara ini ada permohonan dan panduan yang diberikan oleh pejabat mufti sebelum ini, ia boleh dirujuk semula," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah dan Sumbangan Ehya' Ramadan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Pulau Pinang akan mengikut langkah Selangor, yang melarang sama sekali penganjuran sebarang program membabitkan umat Islam di rumah ibadat agama lain di negeri itu.

Ahmad Zakiyuddin berkata, Pulau Pinang tetap mematuhi undang-undang dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam berhubung hal-ehwal agama Islam di negeri itu, termasuk melarang penyebaran agama bukan Islam kepada umat Islam.

Baru-baru ini, sebuah portal media tempatan melaporkan Impact Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), menganjurkan program Projek Artikel 11: 'Ziarah Gereja', yang mempelawa belia bukan Kristian untuk menyertai program itu.

Terkini, program itu yang dijadualkan berlangsung esok di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, Klang, dibatalkan oleh penganjur.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Impact Malaysia, Ahmed Faris Amir, ketika dihubungi BH berkata, program berkenaan tidak akan berlangsung susulan keputusan Menteri KBS, Hannah Yeoh di Parlimen, baru-baru ini.

Selasa lalu, Hannah menjelaskan di Dewan Rakyat, program berkenaan tidak membabitkan individu beragama Islam. - BERNAMA

Berita Harian X