Khamis, 16 March 2023 | 10:48pm
Dr Muruga Raj pada pertemuan dengan Raja Charles di London. - Foto FB
Dr Muruga Raj pada pertemuan dengan Raja Charles di London. - Foto FB

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Raja Charles bertemu di London

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Perubatan Komanwel, Dr Muruga Raj Rajathurai bertemu Raja Britain, Raja Charles sempena sambutan Hari Komanwel.

Dr Muruga Raj yang juga Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), berkata semasa pertemuan itu, Raja Charles menzahirkan penghargaan atas usaha tidak berbelah-bahagi serta komitmen petugas kesihatan yang menjadi barisan hadapan dalam mengurus pandemik COVID-19.

"Ia satu penghormatan dan keistimewaan bagi saya dapat menghadiri dan meraikan Hari Komanwel bersama kerabat diraja Britain. Raja Charles turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada rakyat Malaysia," katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang diundang oleh Raja Charles dan kerabat diraja untuk menghadiri majlis resepsi di Istana Buckingham, London sempena sambutan Hari Komanwel, berkata baginda kagum 'terhadap usaha menakjubkan petugas perubatan semasa pandemik.

Baginda bertitah, Hari Komanwel kali ini adalah yang pertama disambut di Istana Buckingham. Mendiang Ratu Elizabeth II meraikan acara itu di Marlborough House di London.

Sempena sambutan Hari Komanwel, Raja Charles berkenan menandatangani Piagam Komanwel, sebuah dokumen tunggal yang menggariskan 16 nilai teras 'keluarga negara' yang perlu ditegakkan oleh para pemimpinnya.

Raja Charles turut bertitah agar seluruh anggota Komanwel berusaha bersama-sama untuk mencapai manfaat global. - BERNAMA

Berita Harian X