KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini bersetuju untuk meneruskan Laluan Khas Kemasukan Pelajar ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) melalui UPUOnline.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bil 1/2023 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Beliau memaklumkan, Laluan Khas Kemasukan Pelajar itu melibatkan empat kumpulan sasaran, iaitu golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40), Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli dan atlet.
Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia menimbang cadangan laluan kemasukan khas kepada calon lepasan institusi kebajikan dan pemulihan akhlak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Sejajar dengan hasrat peluasan akses pendidikan tinggi, KPT sedia menimbang cadangan Laluan Khas Kemasukan Pelajar sedia ada kepada calon lepasan Sekolah Tunas Bakti, Asrama Akhlak dan Taman Seri Puteri di bawah JKM," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, laluan itu ialah kemasukan melalui kaedah khas dan calon tidak perlu bersaing dengan kumpulan arus perdana untuk melanjutkan pengajian masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, calon masih perlu memenuhi syarat am dan syarat khas program pengajian yang dipilih dan akan disaring dalam kumpulan mereka sendiri.
Mohamed Khaled berharap inisiatif itu memberi manfaat kepada kumpulan sasaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, sekali gus membolehkan mereka hidup berdikari dan menyumbang bakti ke arah pembangunan Malaysia MADANI. - BERNAMA