KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau sedia disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap dakwaan memfitnah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ia susulan laporan polis yang dilakukan oleh Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris terhadap beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa memfitnah Muhyiddin semalam.
"Saya belum berbincang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kami berdua telah dilaporkan dalam aduan (laporan) polis berkenaan.
"Ini adalah aduan politik, masalah politik harus diselesaikan dengan cara politik.
"Aduan polis berkenaan tidak akan menyelesaikan masalah. Mereka mahu mempertahan diri tetapi mereka tiada kemampuan, maka mereka buat laporan polis.
"Jadi, saya sebagai seorang yang sangat telus, sedia untuk disiasat oleh pihak polis kerana kita yakin apa yang diadukan oleh mereka tidak ada asas. Asas yang ada didalam minda mereka sahaja," katanya kepada pemberita hari ini.
Semalam, dalam laporan polisnya Razali mendakwa, Anwar dan Ahmad Zahid serta sekutu mereka cuba menjatuhkan kepemimpinan PN dan BERSATU bagi melumpuhkan kekuatan politik gabungan parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Razali mendakwa tindakan itu antara lain ialah pembekuan akaun BERSATU yang kini disiasat SPRM berhubung penyelewengan program Jana Wibawa di bawah pentadbiran PN dan tuduhan pimpinan BERSATU di mahkamah baru-baru ini.