KUALA LUMPUR: CUEPACS menyifatkan sistem pengambilan penjawat awam dilaksanakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) ketika ini adalah terbaik dan lebih telus jika dibandingkan dengan sektor pekerjaan lain.
Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata atas dasar itu, orang awam perlu yakin dengan SPA dan tidak membuat andaian hanya kerana persepsi yang dicipta oleh mereka sendiri.
Mengulas lanjut katanya, sistem pengambilan yang dilaksanakan SPA pada masa ini masih relevan dan tiada keperluan yang mendesak untuk melaksanakan penambahbaikan kerana prosedur sedia ada sudah mencukupi.
"Namun pada masa akan datang, sudah tentu SPA wajar melihat semula proses sedia ada supaya sesuai dengan keperluan semasa khususnya apabila wujudnya cabaran baharu dalam pekerjaan tertentu.
"Ini kerana beberapa dekad ini perkhidmatan awam sudah mengalami perubahan yang begitu drastik terutama dalam membabitkan proses pengambilan penjawat awam melalui SPA seiring dengan kemajuan teknologi yang dimiliki negara.
"Tapisan permohonan dalam perkhidmatan awam dibuat secara ketat dan melalui beberapa peringkat bagi memastikan individu yang dipilih benar-benar layak memenuhi jawatan yang ditawarkan," katanya kepada BH, di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan BH bahawa SPA memberi jaminan proses pengambilan penjawat awam adalah 100 peratus 'bersih' daripada campur tangan orang dalam mahupun penggunaan 'kabel' seperti dakwaan sesetengah pihak.
Pengerusinya, Tan Sri Zainal Rahim Seman, menegaskan isu penggunaan 'kabel' hanyalah persepsi yang mungkin timbul disebabkan jumlah calon yang memohon untuk sesuatu jawatan terlalu ramai.
Pada masa sama, Adnan berkata, pihaknya turut bersetuju dakwaan pihak tertentu wujudnya kabel yang membolehkan adanya individu diterima bekerja dalam sektor awam adalah persepsi semata-mata.
Beliau menerangkan, mereka yang memohon ke perjawatan awam perlu melalui beberapa ujian yang ditetapkan SPA dan tiada siapa yang boleh membantu mereka melaksanakannya.
Sebaliknya, katanya ia bergantung sepenuhnya kepada tahap kemahiran dan kualiti pemohon itu sendiri di mana sistem dibangunkan SPA ini juga tidak mempunyai hubungan persaudaraan dengan pemohon.
"Jika mereka gagal dalam ujian yang dilaksanakan, sistem itu tidak akan menipu atau menolong mereka untuk lulus...persepsi 'kabel' mungkin timbul kerana sesuatu kekosongan jawatan yang sedikit tetapi dimohon oleh terlalu ramai pemohon.
"Apabila terdapat calon yang gagal dalam permohonan beberapa kali, maka mula timbul isu kabel dan sebagainya sedangkan ada jawatan dibuka untuk lima calon tetapi yang memohon lebih daripada 1,000 orang.
"Sudah tentu kelayakan untuk jawatan itu akan ditingkatkan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dan kompeten memasuki perkhidmatan awam," katanya.
Adnan berkata, CUEPACS yakin SPA mempunyai kemampuan yang cukup untuk menilai cabaran terbaharu berdasarkan keperluan semasa dan seterusnya melaksanakannya bagi memastikan proses pengambilan penjawat awam dapat dibuat dengan lebih berkesan.
Katanya, proses ini adalah perlu bagi memastikan penjawat awam yang dilantik mampu melaksanakan tugas dengan kompeten dan baik kepada rakyat dan negara.
Mengenai perbezaan penilaian berdasarkan perjawatan, Adnan berkata ketetapan SPA ketika ini adalah sesuai dengan perjawatan dan kriteria tertentu.
"Tidak wajar pula kita hendak mewajibkan seorang akauntan melakukan ujian fizikal sama seperti anggota penguatkuasa kerana bidang tugas adalah berbeza mengikut fungsi masing-masing.
"Sebagai contoh seorang penguatkuasa perlu melalui ujian fizikal khusus bagi perjawatan itu yang memerlukan mereka mempunyai kemampuan fizikal atau stamina yang baik," katanya.