Khamis, 16 March 2023 | 3:24pm

MOSTI bantu 144 syarikat pemula menerusi MYStartup

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membantu sebanyak 144 syarikat pemula melalui inisiatif Program MYStartup, tahun lalu.

Menterinya, Chang Lih Kang, berkata sehingga kini kementerian mengenal pasti satu syarikat Malaysia berstatus unicorn (syarikat pemula yang mempunyai nilai melebihi AS$1 bilion) iaitu Carsome dan enam syarikat berstatus soonicorn (syarikat pemula berpotensi menjadi Unicorn).

Katanya, ia meliputi bidang seperti e-dagang, bio-perubatan, robotik, Internet Segala Benda (IoT) dan perbankan.

Tahun ini, jelasnya, kira-kira 7,000 syarikat pemula dijangka menerima manfaat daripada program di bawah MYStartup.

"MYStartup adalah antara inisiatif di bawah SUPER 2021-2030 dilancarkan pada 18 November 2021. Melalui agensi pelaksana iaitu Cradle Fund, sebanyak 5,750 syarikat pemula dan individu menerima manfaat daripada program dilaksanakan.

"Antara inisiatif dijalankan adalah MYHackathon, MYStartup Pre-Accelerator, MYStartup Accelerator dan program pembangunan ekosistem yang lain," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau), berhubung usaha MOSTI membantu lebih banyak syarikat pemula berjaya dan wujudkan unicorn yang boleh dibanggakan.

Lih Kang berkata, program bersasar melalui SUPER 2021-2030 dirangka untuk memecut soonicorn dikenal pasti mencapai taraf Unicorn.

"Soonicorn akan dibantu meningkatkan skala dan daya saing termasuk promosi, penjenamaan, akses kepada mentor yang mempunyai kepakaran teknikal, rangkaian perniagaan, menghubungkan syarikat pemula kepada pelabur serantau dan antarabangsa serta meluaskan pasaran," katanya.

Katanya, Malaysia Venture Capital Management (MAVCAP) turut menyediakan pembiayaan berbentuk ekuiti kepada syarikat pemula dalam bidang teknologi ICT, teknologi hijau dan teknologi baharu.

"Pelaburan melalui dana modal teroka MAVCAP sudah dibuat ke dalam 265 syarikat pemula dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM947 juta," katanya.

Menteri Sains dan Teknologi, Chang Lih Kang, ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Sains dan Teknologi, Chang Lih Kang, ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X