PETALING JAYA: "Saya dah 'move on' daripada episod itu."
Demikian reaksi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika ditanya mengenai isu tular surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membabitkan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti itu.
Katanya, UMNO juga akan menjalani pemilihan seperti yang ditetapkan parti pada Sabtu ini.
Terdahulu tular dokumen didakwa surat daripada RoS yang menjawab berhubung isu dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu kali ini.
Isi kandungan surat terbabit mendakwa usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan yang diluluskan pada PAU 2022 lalu, adalah tidak sah.
Bagaimanapun, Saifuddin dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan terbabit.
Keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966, yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.
Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memaklumkan pihaknya sudah menerima surat daripada KDN, yang mengesahkan bahawa RoS menerima usul tiada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti.
Menurut Zahid, UMNO menerima surat dua halaman itu bertarikh 3 Mac lalu.
Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Zahid untuk mendedahkan surat berkenaan.
Susulan itu, Ahmad Zahid memaklumkan pihaknya akan mendedahkan surat RoS berkenaan bagi menoktahkan polemik berkaitan usul tambahan PAU 2022 yang menghalang pertandingan dua jawatan tertinggi UMNO.
Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO memfailkan notis bantahan kepada RoS berhubung ketetapan PAU 2022 untuk tidak mempertandingkan dua jawatan itu yang didakwa tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti.
Sementara itu, Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung PKR, memaklumkan parti itu akan mengadakan Kongres Nasional Khas PKR yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada Sabtu ini.
Katanya, kongres selama sehari itu akan memberi tumpuan kepada persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
"Kongres khas bertemakan 'Malaysia Madani, Pelaksanaan Sebuah Idealisme' akan mengulas pebagai sudut pandang termasuk ekonomi, politik, hubungan kaum dan agama.
"Semuanya akan menjurus kepada persiapan PRN," katanya.