Khamis, 16 March 2023 | 11:02am

Syor jumlah perjawatan bergantung kepada kementerian

Putrajaya: Cadangan menetapkan jumlah perjawatan dalam sesuatu jabatan kerajaan bukan terletak pada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), sebaliknya di bawah kementerian berkenaan sendiri.

Justeru SPA menolak anggapan tugas untuk mendapatkan perjawatan tetap termasuk dalam isu doktor kontrak yang mahu dilantik kepada tetap, adalah di bawah bidang kuasanya,

Pengerusinya, Tan Sri Zainal Rahim Seman, berkata proses permohonan pertama penambahan perjawatan tetap itu mesti datang dari kementerian iaitu Kementerian Kesihatan (KKM) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Beliau berkata, selepas proses itu diluluskan dengan waran perjawatan dikeluarkan, baharulah SPA memainkan peranan melaksanakan pelantikan melalui pengiklanan perjawatan.

"Kita memang nak ambil kalau perjawatan ada, apabila timbul masalah kata SPA tak lantik sedangkan tugas mendapatkan perjawatan tetap bukan SPA, kita hanya berperanan sebagai pihak yang melaksanakan pelantikan selepas agensi atau kementerian memperoleh kelulusan penambahan perjawatan baharu daripada JPA dan MOF.

"Setelah jabatan atau kementerian itu membuktikan bahawa mereka memerlukan penambahan jawatan, JPA akan membuat kajian jumlah diperlukan dan nisbah pengisiannya.

Pengerusi SPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Pengerusi SPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

"Selepas proses itu selesai di mana perjawatan baharu sah diperoleh dan adanya waran perjawatan, baharu mereka datang ke SPA pada bila-bila masa untuk permohonan pelantikan.

"Membuka penambahan jawatan itu bukan di bawah SPA, sebaliknya suruhanjaya ini hanya berperanan sebagai pihak yang melaksana pelantikan mengikut keperluan jabatan atau kementerian selepas ia diluluskan JPA dan MOF," katanya.

Januari lalu, KKM membuka 4,914 kekosongan jawatan tetap antaranya membabitkan 4,263 jawatan bagi pegawai perubatan, 355 pegawai pergigian dan 316 pegawai farmasi.

Mengulas mengenai perkara itu, Zainal Rahim berkata, SPA sehingga kini sudah melaksanakan proses pengambilan dan ia masih berlangsung.

Selesai isu sebaiknya

Zainal Rahim berkata, melalui pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Februari lalu, Perdana Menteri juga melihat isu ini boleh ditangani sebaik mungkin melalui perancangan pelantikan doktor kontrak kepada jawatan tetap.

Beliau berkata, SPA tidak akan menolak mana-mana permohonan lantikan perjawatan baharu yang dikemukakan berikutan kementerian sudah membuat proses wajar bagi tujuan itu.

Beliau berkata, selain KKM, pihaknya melihat antara kementerian yang memerlukan penambahan perjawatan ialah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Kita difahamkan KKM hanya mampu mewujudkan 1,500 perjawatan baharu setiap tahun bagi menampung permintaan doktor kontrak selepas mendapat pertimbangan JPA dan MOF.

"Walaupun unjuran yang diperlukan adalah 5,000 perjawatan baharu berdasarkan jumlah graduan perubatan yang keluar dari universiti setiap tahun.

"KDN pula, kerajaan berpandangan keperluan untuk mengukuhkan keadaan di sempadan justeru kita dapati agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) nampaknya ada kecenderungan menambah jawatan mereka ketika ini," katanya.

Zainal Rahim berkata, SPA memberi kelonggaran lantikan pegawai perubatan kontrak bagi gred U41 dibuat tanpa melalui temuduga suruhanjaya itu yang mana ia dilaksanakan sejak 2016 lalu.

Sementara itu, Zainal Rahim berkata, pada Januari, sebanyak 1,157 calon dipanggil temuduga bagi enam jawatan yang dibuat permohonan lantikan oleh jabatan dan kementerian yang dibuka pada tahun lalu.

Beliau berkata, ia membabitkan jawatan Pegawai Sains, Pegawai Meteorologi, Penolong Pegawai Penilaian, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Juruukur dan Penolong Pegawai Alam Sekitar.

Katanya, daripada jumlah itu, kebiasaannya pengambilan membabitkan hanya 10 hingga 15 peratus daripada jumlah yang ditemuduga, bergantung kepada permohonan jumlah pengisian jawatan daripada kementerian dan jabatan.

Berita Harian X