SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengingatkan semua pihak, bahawa sebarang program membabitkan umat Islam di rumah ibadat agama lain, adalah di larang sama sekali.
Walaupun menyambut baik program berbentuk kefahaman dan nilai-nilai toleransi antara agama yang giat dijalankan Badan Bukan Kerajaan (NGO), namun ia mesti mengikut garis panduan ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), terutamanya aspek perundangan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, berkata peraturan sudah menetapkan sebarang program membabitkan umat Islam di rumah ibadat agama lain selain daripada agama Islam (masjid dan surau) adalah dilarang sama sekali.
"Usaha tersebut (program toleransi antara agama) disambut baik oleh kerajaan negeri, namun program-program yang dianjurkan haruslah mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak JAIS terutamanya membabitkan faktor perundangan.
"JAIS sentiasa memantau dan akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan yang telah digariskan di bawah Seksyen 5 dan Seksyen 6 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Neger Selangor 1988.
"Kerajaan Selangor sentiasa menghormati kemajmukan dan perbezaan agama yang ada di negeri tercinta ini, justeru setiap NGO perlu lebih berhati-hati dalam menganjurkan program yang melibatkan sensitiviti keagamaan dan sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, pimpinan NGO boleh merujuk kepada JAIS dan Jabatan Mufti bagi pertanyaan lanjut.
"Kerajaan negeri berharap pihak JAIS dan Jabatan Mufti dapat memberikan kerjasama yang baik kepada semua pihak terutamanya berkenaan garis panduan program keagamaan di rumah ibadah agama lain," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular menerusi media sosial mengenai 'ajakan' kepada umat Islam untuk menziarahi gereja.
Bagaimanapun, program anjuran Projek Impact Malaysia itu turut membabitkan rumah ibadat bagi agama lain, termasuk menziarahi masjid.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bagaimanapun memaklumkan bahawa program itu tidak membabitkan individu beragama Islam dalam aktiviti ziarah gereja.
Hannah dilaporkan berkata, program itu bukan bertujuan untuk memberi gambaran semua agama yang dianuti rakyat Malaysia adalah sama rata.