BATU PAHAT: Pihak Pengurusan Majid Jamek Kampung Parit Warijo, Sri Medan di sini berharap dapat mengimarahkan semula rumah ibadat itu sempena kedatangan Ramadan minggu depan.
Pengerusinya, Kamsani Simon, 70 berkata, masjid itu sunyi tanpa jemaah sejak awal bulan lalu akibat banjir yang menyebabkan hampir 95 peratus penduduknya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berhampiran.
Sehingga kini, katanya, perkarangan masjid itu yang terletak lebih kurang dua kilometer dari pintu gerbang utama Kampung Parit Warijo, masih digenangi air bah.
"Memang sayu dan sedih kami melihat masjid yang menjadi nadi komuniti di sini, sunyi dan sepi, tetapi Alhamdulillah kami semula reda dengan ujian Allah ini.
"Perkarangan masjid memang ditenggelami air hingga hampir dua meter, tetapi kami bersyukur kerana dalam masjid itu sendiri masih kering dan elok.
"Ini kerana kedudukan masjid yang dibina daripada kayu dan berusia lebih 100 tahun ini tinggi. Alhamdulillah permaidani, sejadah dan semua peralatan di dalam masjid masih elok berfungsi," katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Kampung Parit Warijo di sini, hari ini.
Namun, Kamsani berkata, kelas mengaji, perkakasan kerusi, meja, kitab termasuk yasin dan al-Quran basah dan rosak.
Katanya, semua barangan itu diletakkan di bilik mengaji yang terletak bersebelahan bangunan masjid.
"Al-Quran, yasin dan juga kitab agama diletakkan di rak buku, tetapi rak buku tersebut diperbuat dari habuk kayu yang menyebabkannya lembik sekali gus runtuh akibat terendam air banjir hampir dua minggu.
"Van jenazah yang terletak di garaj kereta perkarangan masjid juga rosak. Sebanyak 400 ekor ikan talapia yang diperlihara untuk pendapatan tambahan jawatankuasa masjid juga hanyut dibawa arus banjir.
"Cuaca panas sudah lebih seminggu, saya berharap sangat air banjir termenung ini dapat surut dengan kadar segera, bagi membolehkan gotong-royong dilaksanakan kariah masjid untuk menyambut Ramadan, berbuka dan pastinya solat sunat tarawih dapat dilaksana seperti sebelum ini," katanya yang memaklumkan masjid berkenaan mampu menampung kira-kira 300 jemaah dalam satu masa.
Menceritakan detik banjir terjadi pada 2 Mac lalu, Imam Masjid Jamek Parit Warijo, A Majid Mokhtar, 70 berkata ramai jemaah berada di masjid untuk baca yasin pada malam Jumaat, berikutan hujan lebat tanpa henti beberapa hari.
"Selepas solat Isyak air naik makin cepat dan jemaah hendak pulang lihat semua selipar sudah dihanyutkan air banjir. Masing-masing pulang ke rumah dalam keadaan tergesa-gesa kerana air di rumah juga sudah naik dan perlu berpindah segera ke PPS," katanya.