KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti syor pengagihan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) secara kredit terus ke akaun murid sepenuhnya.
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying, berkata cadangan itu bertujuan memastikan insiden kecuaian atau kecurian wang BAP tidak berulang, selain menjelaskan tiada had masa ditetapkan bagi tujuan demikian.
"Bagaimanapun, syor itu perlu mengambil kira kesediaan pihak bank dan kesukaran murid di pedalaman yang memerlukan kos tinggi bagi membuat urusan di fasiliti perbankan.
"Ketika ini, KPM akan menyalurkan terus (wang BAP) ke akaun mereka selagi murid ada akaun bank tetapi bilangannya amat sedikit dan kebanyakannya (disalurkan) secara tunai kepada ibu bapa.
"Bantuan ini tidak boleh dikreditkan terus ke akaun ibu bapa, hanya ke akaun bank murid terbabit," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) dan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai pengagihan BAP di Dewan Rakyat, hari ini.
Januari lalu, wang BAP berjumlah lebih RM109,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor hilang dilarikan penjenayah.
Wang berkenaan dikeluarkan oleh guru besar sekolah berkenaan sebelum cermin kenderaannya dipecahkan ketika pergi membeli minuman.
Kepada soalan lain, Hui Ying berkata, KPM ada menghasilkan bahan pembelajaran digital mesra orang kurang upaya (OKU) bagi memenuhi keperluan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) di seluruh negara.
Katanya, KPM turut membenarkan MBPK memilih satu daripada empat kurikulum berdasarkan keupayaan dan potensi mengikut Peraturan-Peraturan Pendidikan Khas 2013.
"Pilihan dibuat di peringkat prasekolah membabitkan kurikulum kebangsaan, kurikulum kebangsaan diubah suai, kurikulum dibina khusus atau kurikulum latihan kemahiran.
"KPM juga bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi memantau perkembangan MBPK yang memasuki alam kerjaya," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai persediaan KPM memulakan sistem pembelajaran digital bagi MBPK, selain persediaan untuk luruan kerjaya.
Menjawab soalan tambahan Zakri Hassan (PN-Kangar), Hui Ying berkata, KPM turut menyediakan guru latihan khas melalui lantikan khusus bagi meningkatkan potensi MBPK dalam pelbagai bidang.
"KPM ada guru dan pelatih yang dilatih secara khusus bagi mengendalikan MBPK, mengikut potensi masing-masing dalam pelbagai bidang," katanya.