KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak andaian beliau cenderung kepada individu tertentu dan cuba campur tangan untuk memenangkan 'orang Presiden' dalam pemilihan parti kali ini.
Beliau menegaskan tidak pernah menyokong atau menyekat hasrat mana-mana pihak yang mahu bertanding, umpamanya dalam pemilihan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri baru-baru ini.
Tegasnya, ia terbukti apabila anaknya sendiri, Datuk Nurulhidayah kalah dalam pemilihan jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk.
"Kalau saya memihak dan saya mahu memenangkan hanya seseorang, saya fikir elok saya memenangkan anak saya sendiri sebagai Ketua Wanita UMNO Bagan Datuk, tapi beliau kalah.
"Kalau jelas saya menyokong seseorang sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia, bagaimana bahagian saya juga menyokong orang lain?
"Dalam perkara ini, saya sangat praktikal, bahawa hak perwakilan untuk memilih dalam keadaan yang baik-baik," katanya dalam program bual bicara Agenda Awani - Pasca 100 Hari Kerajaan Perpaduan yang disiarkan secara langsung di Astro Awani, malam ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh hos Nazri Kahar mengenai dakwaan beberapa pihak bahawa hanya 'orang Presiden' yang menang dalam pemilihan UMNO kali ini.
Sebelum ini, Nurulhidayah dilaporkan tidak berpuas hati selepas kalah dalam perebutan jawatan Ketua Wanita UMNO Bagan Datuk, dan mendakwa wujud pelanggaran etika ketika proses pemilihan berlangsung Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Nurulhidayah berjaya memenangi jawatan Exco Wanita UMNO peringkat pusat.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahrir Samad mengumumkan Ahli Parlimen Parit Sulong berjaya mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO selepas menewaskan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Mohamad Akmal Salleh pula berjaya memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO, manakala jawatan Ketua Puteri UMNO dimenangi oleh Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menganggap semua calon yang menang atau tewas dalam pemilihan kali ini sebagai 'orang Zahid', kerana tidak mahu wujud puak dalam UMNO.
"Bagi saya, yang menang itu semua orang saya sebab saya Presiden UMNO. Saya tak mahu ada kabilah dalam UMNO.
"Semua yang tawarkan diri, sama ada jawatan Ketua Wanita, Pemuda atau Puteri, mereka semua jumpa dengan saya untuk dapat restu saya. Saya tidak ada menghalang untuk bertanding," katanya.