Selasa, 14 March 2023 | 4:40pm

Hannah tolak dakwaan Jom Ziarah sama ratakan agama

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menafikan dakwaan program Jom Ziarah sebagai usaha menyamaratakan kedudukan agama di negara ini.

Menterinya, Hannah Yeoh, berkata program anjuran Impact Integrated seliaan kementerian itu juga bukan bertujuan memberi gambaran semua agama memiliki taraf yang sama, seperti didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya, beliau berkata, penganjuran program itu bertujuan memberi pendedahan mengenai perbezaan agama, sekali gus membentuk masyarakat majmuk yang mampu hidup secara harmoni dan lebih bertoleransi.

Malah, katanya, program berkenaan tidak membabitkan penyertaan belia Islam, selain menjelaskan pelaksanaan program ziarah rumah ibadat bukanlah perkara baharu di Malaysia.

Ahli Parlimen Segambut itu turut menyifatkan dakwaan terbabit sebagai tuduhan melampau, selain menyifatkannya sebagai usaha menjadikannya 'punching bag' bagi menutup dakwaan salah laku dihadapi pemimpin BERSATU.

"Sebagai bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, saya tahu dan memahami undang-undang melarang 'evangelism'.

"Saya juga ahli DAP yang tahu dan memahami Perlembagaan, mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 Peringkat Jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Baru-baru ini, tular poster Impact Malaysia yang mengajak belia bukan Kristian untuk menyertai program Jom Ziarah ke sebuah gereja di Klang, Selangor, Sabtu ini.

Poster itu menerangkan Projek Artikel 11, mendedahkan belia kepada agama berbeza menerusi aktiviti lawatan dan sukarelawan untuk menjadikan Malaysia lebih inklusif.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, Program Kelas Renang akan ditawarkan secara percuma kepada kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun daripada keluarga B40, dijangka bulan ini.

Katanya, fasa pertama program itu akan dibuat di kemudahan milik kerajaan sepanjang tahun, bertujuan menerapkan kemahiran renang dan tumpuan diberi kepada negeri mencatatkan kadar kematian akibat lemas yang tinggi.

Beliau berkata, ia juga bertujuan mengurangkan risiko lemas dalam kalangan kanak-kanak, terutama ketika cuti persekolahan yang akan memberi manfaat kepada 160,000 kanak-kanak.

"Saya menghadiri program bersama doktor yang memberikan data berkaitan kes lemas membabitkan kanak-kanak iaitu hampir 500 orang setiap tahun.

"Setiap kali cuti persekolahan, kita akan baca berita berkaitan kanak-kanak lemas, sama ada di hotel, kolam renang atau sungai.

"Malah, di Segambut, ada kanak-kanak masuk (berenang) di kolam IWK (Indah Water Konsortium) kerana tidak tahu di situ bahaya," katanya.

Menjawab celahan Tan Hong Pin (PH-Bakri), beliau berkata, penganjurannya akan dibuat secara berperingkat dengan data sedia ada akan digunakan sebagai panduan bagi pelaksanaan fasa pertama.

"Kita akan gunakan data sedia ada dan turunkan program ini di lokasi yang sudah memiliki kemudahan kolam renang kerajaan.

"Pada fasa seterusnya KBS akan meneliti daerah mencatatkan kes lemas yang tinggi tetapi tidak memiliki kemudahan dan kita akan cuba bina (kolam renang) di situ," katanya.

Hannah Yeoh. - Foto NSTP/Owee Ah Chun
Hannah Yeoh. - Foto NSTP/Owee Ah Chun
Berita Harian X