KUALA LUMPUR: "Saya bukan ahli politik murah dengan menganiaya orang," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil menegaskan beliau tidak campur tangan dalam kes membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Perdana Menteri menegaskan isu itu boleh dibangkitkan kepada Ketua Hakim dan Peguam Negara sama ada beliau campur tangan bagi mengurangkan mahupun mengetepikan kes pendakwaan membabitkan Ahmad Zahid.
"Boleh tanya Ketua Hakim dan Peguam Negara, bila masa saya campur tangan suruh kurang atau tarik balik pertuduhan, soal tohmahan, kita jangan mudah menghukum, saya bukan kelas 'politician' yang murah sebegitu rupa," katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai tindakan kerajaan yang dilihat memfokuskan kepada pembangkang semata-mata dalam tindakan pendakwaan kes tatakelola tidak telus sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penegasan Anwar itu juga sebagai menjawab beberapa dakwaan wujud campur tangan Perdana Menteri dalam kes membabitkan pemimpin BERSATU.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan sempena Perhimpunan Agung BERSATU minggu lalu mendakwa pendakwaan terhadap pemimpin parti itu sebagai pendakwaan terpilih dan pemangsaan politik.
Anwar menegaskan beliau sebagai Perdana Menteri tidak akan sama sekali menganiaya mana-mana pihak termasuk pemimpin pembangkang.
"Soal nak kecam politik, boleh kecam tapi ingat saya sebagai Perdana Menteri tidak mengguna kedudukan untuk menganiaya, kalau bukti ada, macam mana saya nak aniaya. ini termasuk kes Timbalan Perdana Menteri," katanya.
Anwar berkata adalah perkara biasa untuk mengkritik dalam politik, tetapi sebagai Perdana Menteri, dia tidak akan mengkhianati amanah yang diberikan kepadanya.
"Malah arahan kepada mereka (SPRM), saya kata apa, tunggu Peguam Negara (putuskan pendakwaan). Saya kata apapun tindakan berdasarkan fakta dan bukti kuat, saya sokong.
"Tapi jangan aniayai, jangan ada satu alasan yang longgar yang boleh dicabar dan dipertikai," katanya.
Perdana Menteri turut bertanya sama ada mereka yang membuat tuduhan itu mempunyai bukti dakwaan mereka atau tidak.
"Jangan gunakan al-Quran hukum saya (sebagai) zalim dan campur tangan. Saya nak beritahu pimpinan di sana (pembangkang). Saudara kena ingat sebagai orang Muslim bertanggungjawab, adakah saudara yakin, ada bukti bahawa Anwar campur tangan untuk mendakwa sesiapa?
"Kalau tidak, zalim jawabnya. Guna agama dan fitnah orang. Sebut nama saya," katanya.