Isnin, 13 March 2023 | 7:39pm
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menunjukkan laporan polis berhubung kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin di IPD Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menunjukkan laporan polis berhubung kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin di IPD Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

AMK buat laporan polis terhadap Muhyiddin

PUTRAJAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini, membuat laporan polis terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, susulan kenyataan yang mendakwa kes mahkamah terhadapnya ada campur tangan politik.

Laporan polis itu dibuat oleh Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan.

Kamil berkata, laporan itu dibuat agar polis menyiasat dan mengambil tindakan kerana ia mengundang pelbagai spekulasi buruk terhadap institusi penguatkuasaan dan kehakiman negara.

"Kenyataan yang dilemparkan itu adalah satu tohmahan dan fitnah untuk mencipta persepsi negatif yang tidak baik terhadap Perdana Menteri.

"Ini seolah-olah menggambarkan bahawa di sana (penguatkuasaan) wujudnya campur tangan di peringkat tertinggi," katanya selepas membuat laporan terhadap kenyataan Muhyiddin di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya hari ini.

Muhyiddin berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah menegaskan bahawa tindakan yang diambil kedua-dua agensi itu adalah bebas tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak seperti yang didakwa.

"Ini adalah penting untuk menunjukkan bahawa badan SPRM dan AGC yang melakukan siasatan dan tindakan dengan bebas dan berintegriti.

"Justeru, kenyataan yang dikeluarkan Muhyiddin adalah satu fitnah dan perlu ada tindakan yang tuntas pihak berkuasa," katanya.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan membabitkan salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.

Pagi ini, Muhyiddin berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung kes menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta, Januari tahun lalu.

Berita Harian X