Isnin, 13 March 2023 | 6:07pm
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) pada hari pertama melaporkan diri sebagai Pengerusi MARA hari ini
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) pada hari pertama melaporkan diri sebagai Pengerusi MARA hari ini

Asyraf Wajdi mahu pastikan pembiayaan MARA utamakan aspek keberkatan

KUALA LUMPUR: Aspek keberkatan dalam pembiayaan yang disediakan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjadi fokus utama Pengerusinya yang baharu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia, memaklumkan akan membantu MARA beralih kepada pembiayaan yang menepati kehendak syariah, selain lebih cekap dan tidak membabitkan kos yang tinggi.

Beliau berkata, antara pembaharuan yang akan dilakukan itu termasuklah memastikan pembiayaan MARA yang digunakan untuk penciptaan kekayaan Bumiputera, bebas daripada riba.

"Memandangkan sektor ini (Sektor Pembangunan Usahawan) amat penting dalam penciptaan kekayaan bangsa, maka saya tekankan aspek keberkatan.

"Antara punca keberkatan termasuklah kaedah pembiayaan mestilah bebas daripada syubhah riba. Ketika ini kaedah pembiayaan masih lagi menggunakan prinsip Bai' Al-'Inah yang agak kontroversi dan sudah lama ditinggalkan oleh industri perbankan Islam.

"Situasi ini mengingatkan saya ketika membantu menstrukturkan kembali kaedah pinjaman/pembiayaan dalam industri kewangan Islam daripada prinsip Bay al-inah kepada Tawarruq, Murabahah, Qard al-Hasan dan kontrak lain.

"Insya-Allah dalam tempoh terdekat ini, saya sedia membantu MARA untuk beralih kepada pembiayaan yang lebih cekap, tidak membabitkan kos yang tinggi dan yang utama menepati kehendak syariah," katanya menerusi perkongsian di akaun Facebook peribadinya hari ini.

Kenyataan itu dikongsi Asyraf Wajdi yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, sempena hari pertama melapor diri sebagai Pengerusi MARA hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, beliau juga sempat mencadangkan kaedah yang lebih baik untuk mengurangkan beban peminjam.

"Memandangkan MARA tidak bergantung kepada dana berbayar yang akan ada kesan kos terhadap dana tersebut atau dalam istilah perbankan disebut "cost of fund", maka MARA tidak semestinya terikut kaedah pinjaman bank.

"Banyak lagi prinsip Syariah yang boleh diguna pakai supaya pinjaman yang diberikan hanya mengenakan caj yang minimum berasakan kos sebenar atau dalam istilah kewangan Islam 'Takhlifah Fi'liyyah'.

"InsyaAllah ini antara kaedah yang boleh diteliti dan dinilai sektor pembiayaan MARA agar lebih efisyen dan tidak membebankan peminjam yang rata-rata kalangan orang muda dan usahawan mikro yang baru hendak memulakan atau mengembangkan perniagaan," katanya.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi memaklumkan, Sektor Pembangunan Usahawan menjadi antara tumpuan utama dalam taklimat pertamanya sebagai Pengerusi MARA hari ini.

Katanya, ia berikutan sektor itulah yang bertanggungjawab membangunkan usahawan Bumiputera selama ini melalui pendekatan holistik termasuk pembiayaan, latihan dan pembangunan infrastruktur perniagaan.

"Alhamdulillah, hari yang produktif dan mengujakan. Esok siri taklimat-taklimat sektor dan lain-lain Bahagian MARA diteruskan.

"Semoga MARA terus kekal menjadi sebuah agensi amanah yang membina sebuah ekosistem pembangunan sosio-ekonomi yang memberi kesan amat besar kepada rakyat," katanya.

Berita Harian X