JOHOR BAHRU: Banjir di Batu Pahat masih belum memasuki fasa banjir termenung berikutan masih merekodkan kemasukan serta pergerakan air yang besar dari luar.
Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md Ali, berkata menerusi laporan teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) fenomena banjir termenung kemungkinan berlaku dalam tempoh antara seminggu hingga dua minggu lagi.
Nasri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Batu Pahat berkata, ketika ini air banjir masih mengalir dan bergerak ke kawasan Sri Medan, Sri Gading dan Parit Raja.
"Pergerakan air bah ini dipengaruhi aliran air pasang surut, air banjir dari Segamat dan pelepasan air beberapa empangan menyebabkan ia masih belum 'termenung' atau masih berlaku kenaikan paras air bah.
"Mengenai banjir termenung, sekarang ini belum lagi memasuki fasa itu. Jika pergerakan air bah itu sudah berhenti dan tidak lagi mengalir, baharulah ia menjadi 'termenung' dan lebih mudah kerja pengepaman air bah dilakukan.
"Oleh kerana banjir termenung belum berlaku, beberapa kawasan termasuk di pekan Parit Sulong, Sri Medan, Sri Gading dan Parit Raja masih ditenggelami air bah dan keadaannya masih kritikal.
"Namun, saya sudah minta JPS kenal pasti lokasi bah yang airnya sesuai dipam keluar lebih awal bagi mengurangkan paras ketinggian air bah sekurang-kurangnya 0.5 meter," katanya ketika dihubungi.
Banjir yang melanda Johor sejak 1 Mac lalu disifatkan antara bencana banjir terburuk pernah dialami negeri itu selepas bah besar 2006.
Angka terkini mangsa terjejas banjir di negeri ini membabitkan 40,746 penduduk daripada 11,464 keluarga di 136 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah terjejas.
Batu Pahat merekodkan angka mangsa banjir terbesar dengan 39,301 daripada 10,963 keluarga di 112 PPS.
Dalam pada itu, Nasri berkata, keadaan banjir yang masih kritikal di daerah itu menyebabkan pihaknya menjangkakan banjir akan terus melanda dalam tempoh dua minggu hingga sebulan lagi.
Katanya, menerusi laporan JPS, apabila pergerakan kemasukan air banjir terhenti nanti, sesetengah kawasan terjejas banjir dalam tempoh lebih dua minggu lagi manakala kawasan seperti Sri Medan akan terus terjejas lebih sebulan.
"Sedih untuk dimaklumkan bahawa bah kali ini mungkin melepasi Ramadan sehingga hampir Aidilfitri nanti. Kita hanya mampu berserah pada Allah dan akan terus berusaha melakukan kerja pengepaman keluar air.
"Mangsa terjejas walaupun sedih namun sudah bersedia menghadapi Ramadan di PPS. Diakui, mangsa banjir akan mengalami fasa krisis emosi kerana sudah terlalu lama di PPS, iaitu sejak 1 Mac lalu.
"Namun, kita minta semua mangsa sabar dan tabah. Jangan risau, semua keperluan mangsa akan dijaga agensi kerajaan terutama makan minum, sanitasi, kebersihan dan pengurusan di PPS, semua akan dijaga.
"Namun, jika mangsa terjejas nak balik menjengah rumah mereka seketika, pastikan maklumkan pengurusan PPS dan sentiasa menjaga keselamatan berikutan paras air masih tinggi dan berbahaya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nasri berkata, terdapat 27 rumah pam beroperasi di kawasan banjir di daerah ini bagi mengurangkan paras air di kawasan kritikal.
Katanya, tujuh daripada rumah pam itu adalah milik JPS Johor manakala 20 lagi adalah pinjaman dari negeri lain termasuk Selangor, Pahang, Perlis dan Melaka.
"Negeri berkenaan juga akan menghantar 13 lagi rumah pam bagi membantu mengepam keluar air segera apabila ia mencapai fenomena banjir termenung nanti.
"Sebanyak 27 rumah pam sedia ada memang melakukan kerja mengepam air di kawasan kritikal supaya sekurang-kurangnya dapat kurangkan paras kepada 0.5 meter dalam tempoh seminggu," katanya.