KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang merangka dasar khusus berkaitan kenderaan elektrik (EV) yang dijangka menyaksikan pertumbuhan progresif dalam tempoh terdekat.
Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong, berkata tugas itu kini digalas jawatankuasa khas EV di bawah MITI selepas penubuhannya diluluskan Jemaah Menteri pada 17 Februari lalu.
Beliau berkata, pasukan itu antara lain ditugaskan untuk mengurus industri EV antaranya meneliti pengeluar, pengimport dan jenama yang boleh diberi peluang bagi pasaran domestik.
"Aspek kedua membabitkan stesen pengecasan (kenderaan EV), selain rangkaian elektrik dan elektronik (E&E) dengan pengeluar EV.
"Justeru, kerajaan memerlukan sedikit masa untuk menggariskan masa depan EV," katanya ketika menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengenai penghasilan kenderaan EV secara domestik, beliau berkata, ia dijangka dibuat dalam tempoh sehingga dua tahun lagi.
"Dari segi harga pengeluaran dan kereta, memang ia akan menyaksikan perubahan sangat besar, membabitkan aspek persaingan serta perubahan daripada kenderaan enjin konvensional kepada EV.
"Menerusi perkembangan ini, mungkin ada peluang keadaan baharu akan wujud dalam setahun dua lagi," katanya.
MITI menyasarkan pelaburan EV dapat menarik pelaburan RM20 bilion menjelang 2025, dengan Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dilaporkan berkata jumlah itu diunjur meningkat kepada RM40 bilion pada 2030.
Terdahulu ketika menjawab soalan asal Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya), Chin Tong menafikan dakwaan PROTON diberi layanan istimewa biarpun syarikat berkenaan dikuasai pihak swasta, selain menjelaskan pihaknya bersedia mengemas kini Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020, selaras perkembangan industri automotif global.
Sebaliknya, beliau berkata, layanan kepada PROTON dibuat berpandukan kriteria Projek Kenderaan Malaysia (MVP) ditetapkan menerusi NAP 2020.
Antara kriteria MVP ialah majoriti pemilikan tempatan, memberi tumpuan pembangunan rantaian pembekalan tempatan, menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
"Kerajaan tidak memberi layanan istimewa kepada PROTON atau PERODUA, sebaliknya mempertahankan dasar sedia ada, iaitu NAP 2020.
"Namun, kita sedia mengemas kini dasar (NAP 2020), memandangkan perubahan sangat pesat di industri automotif dunia, terutama pengembangan EV," katanya.