KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memberi kelonggaran penjadualan semula atau penangguhan bayaran sehingga enam bulan kepada usahawan terjejas banjir, khususnya yang mendapat pembiayaan daripada agensi di bawahnya.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata kelonggaran itu sebahagian daripada dasar kementeriannya untuk membantu golongan usahawan yang terkesan akibat bencana.
"Mengenai banjir terutama usahawan yang terjejas dan mereka yang meminjam daripada agensi kita, ada dasar untuk beri kelonggaran kepada usahawan ini .
"Usahawan ini boleh memohon untuk menjadualkan pembiayaan atau menangguh pembayaran mereka sehingga maksimum enam bulan," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang meminta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan langkah membantu usahawan yang terjejas akibat banjir.
Menjawab soalan asal Manndzri yang meminta jaminan kementerian itu untuk terus membantu usahawan khususnya golongan belia dalam berdepan krisis ekonomi yang dijangka berlaku tahun ini, Ewon berkata, kerajaan komited membantu semua usahawan dalam memastikan kelangsungan perniagaan mereka.
Katanya, kementerian melalui Program PROTEGE atau 'Professional Training & Education For Growing Entrepreneurs' merancang untuk melaksanakan beberapa program keusahawanan dalam kalangan graduan pada tahun ini membabitkan peruntukan sebanyak RM5 juta.
"Ia dijangka memberi mandat kepada hampir 12,450 graduan melalui pelaksanaan program antaranya Latihan Intensif Dalam Talian bagi Usahawan Generasi Baharu (N-GENE) dan Program Usahawan Perantis (SPACE).
"Selain itu, kita juga ada program Penempatan Latihan Kerjaya dan Keusahawanan TVET (GRACE), Latihan Asas Keusahawanan (ETR 101) dan Program Kembara Kerjaya (ROAD)," katanya.
Selain itu, beliau berkata, kementerian menerusi agensi di bawahnya menyediakan pelbagai dana khusus dan latihan keusahawanan kepada golongan belia.