Isnin, 13 March 2023 | 10:31am
Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman keluar dari mahkamah selepas menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Shah Alam. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman keluar dari mahkamah selepas menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Shah Alam. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Apa kita tahu kes rasuah, ubah wang haram Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menghadapi tuduhan ketujuh berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas enam pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Selepas PRU15 November lalu, timbul spekulasi bahawa pemimpin pembangkang akan didakwa berkaitan Program Penjanaan Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera (Jana Wibawa).

Jumaat lalu, Muhyiddin dikenakan enam pertuduhan membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan dana sebanyak RM195 juta.

Pendakwaan terbabit menjadikan beliau sebagai bekas perdana menteri kedua yang terkenal dengan panggilan 'Abah' didakwa di mahkamah atas kesalahan menerima rasuah dan pengubahan wang haram selepas Datuk Seri Najib Razak.

BACA BERITA PENUH: MUHYIDDIN HADAPI 4 PERTUDUHAN RASUAH RM232.5 JUTA, UBAH WANG HARAM RM195 JUTA

Bagi pertuduhan pertama, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM200,000,000 dari Bukhary Equity Sdn Bhd bagi milik parti, BERSATU.

Beliau turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM1,000,000 daripada syarikat Nepturis Sdn Bhd bagi milik partinya, BERSATU.

Bagi pertuduhan ketiga, beliau juga didakwa menggunakan kedudukannya untuk satu suapan, iaitu wang berjumlah RM19,500,000 daripada syarikat Mamfor Sdn Bhd bagi milik partinya.

Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM12,000,000 bagi milik partinya daripada Azman Yusoff.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, Muhyiddin didakwa sebagai Presiden BERSATU menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik BERSATU.

Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari 2021 hingga 8 Julai 2022.

Hari ini bagi pertuduhan ketujuh, Muhyiddin dituduh terbabit pengubahan wang haram apabila wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd dimasukkan ke dalam akaun AmBank milik parti.

BACA BERITA PENUH: MUHYIDDIN DIDAKWA TERBABIT PENGUBAHAN WANG HARAM RM5 JUTA

Kesalahan itu dilakukan di AmBank cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, 7 Januari 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Oleh demikian, tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan berkenaan dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Muhyiddin dakwa pertuduhan bermotif politik

Dalam sidang media selepas pertuduhan Jumaat lalu, Muhyiddin mempersoalkan bagaimana Jabatan Peguam Negara boleh membuat keputusan lebih awal untuk mendakwanya sedangkan beliau belum memberikan sebarang kenyataan kepada SPRM.

Bekas perdana menteri yang juga Presiden BERSATU itu berkata, beliau mengetahui keputusan untuk mendakwa dirinya sudah diputuskan oleh kerajaan walaupun siasatan belum dilengkapkan.

"Mereka hanya menggunakan agensi penguat kuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik. Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang," katanya.

BACA BERITA PENUH: 'PEGUAM NEGARA PUTUSKAN DAKWA SEBELUM SAYA BERI KETERANGAN SPRM'

Pada Khamis minggu, Muhyiddin dipanggil ke SPRM untuk memberi keterangan dan melengkapkan proses siasatan akhir program Jana Wibawa. Beliau ditahan di SPRM sejak tengah hari sama dan dibebaskan lapan jam kemudian, sebelum menghadapi pertuduhan keesokannya.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, Muhyiddin bakal menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

BACA BERITA PENUH: APA ANDA PATUT TAHU PROGRAM JANA WIBAWA

Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 dan ia adalah kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada 1993.

Pada 18 Februari lalu, bekas Perdana Menteri itu mengesahkan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek.

Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.

Pada 20 Februari, SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.

Sehari kemudian, bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.

Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.

Dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama, disusuli pendakwaan kali ketiga pada 28 Februari berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.

Pada 22 Februari juga, seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung program Jana Wibawa bernilai RM12.875 juta, sejak dua tahun lalu.

Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 dan ia adalah kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada 1993.

Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir PN diterajui Muhyiddin.

KRONOLOGI ISU PROJEK JANA WIBAWA

13 November 2020 : Jana Wibawa diluluskan oleh Jemaah Menteri.

1 Februari 2023 : BERSATU berkongsi penyata akaunnya sebalik dakwaan mengaitkan parti itu menerima RM4 bilion daripada RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi.

1 Februari 2023 : Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sahkan pihaknya membekukan beberapa akaun milik BERSATU.

2 Februari 2023 : Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin maklumkan partinya menghantar surat kepada SPRM meminta pembatalan pembekuan akuan BERSATU.

15 Februari 2023 : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Kementerian Kewangan (MOF) sudah mengarahkan projek Jana Wibawa ditangguh.

16 Februari 2023 : Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) hadir beri keterangan kepada SPRM.

19 Februari 2023 : SPRM sahkan Muhyiddin antara suspek yang disiasat bagi projek Jana Wibawa.

20 Februari 2023 : Bekas Menteri MOF, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, beri keterangan kepada SPRM.

20 Februari 2023 : Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, Adam Radlan Adam Muhammad ditahan SPRM.

21 Februari 2023 : Wan Saiful dan Adam Radlan masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta dan RM500,000 berkaitan Jana Wibawa.

22 Februari 2023 : Adam Radlan sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan Jana Wibawa.

22 Februari 2023 : Seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai RM12.875 juta.

24 Februari 2023 : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim maklumkan projek Jana Wibawa berjumlah RM7 bilion yang dibuat secara rundingan terus dibatalkan.

28 Februari 2023 : Adam Radlan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sekali lagi atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta berhubung projek Jana Wibawa.

9 Mac 2023 : Muhyiddin sekali lagi hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berkenaan projek Jana Wibawa.

Berita Harian X