KUALA LUMPUR: Pemenang bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO masih belum dapat disahkan sehingga malam ini, berikutan undi yang diperoleh yang mendahului saingan tidak begitu jauh daripada pencabar terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahrir Samad, berkata ketika pengesahan keputusan yang tinggal lagi lapan bahagian, calon yang mendahului tempat pertama hanya memiliki kelebihan lima undi berbanding pencabar di tempat kedua.
"Satu jawatan agak sengit sikit, tapi yang lain ok (boleh ditentukan pemenangnya) iaitu Naib Ketua Pemuda, kerana bezanya cuma lima undi di antara nombor satu dan dua.
"Tapi yang tinggal lapan bahagian (belum disahkan keputusan), kita tak tahu lapan bahagian ini ke mana. Jadi kita tak boleh nak sahkan lagi," katanya pada sidang media di Auditorium UMNO, malam ini.
Siang tadi, Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah dilapor sudah memenangi jawatan berkenaan.
Namun berdasarkan keputusan rasmi disahkan JPU setakat ini, Hairi sedang mendahului dengan 84 undi, sementara pencabar terdekatnya, Ikmal Hazlan Ikhmal Hisham, mengekori dengan 79 undi.
Bagi jawatan ketua sayap itu, dimenangi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Akmal Salleh.