Ahad, 12 March 2023 | 8:03pm
Datuk Razali Idris (kiri) dan Isham Jalil.
Datuk Razali Idris (kiri) dan Isham Jalil.

'Beza pertuduhan dihadapi Muhyiddin, Zahid ibarat langit dan bumi' - Razali

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, membidas rakan sejawatnya dari UMNO, Isham Jalil, yang mempersoalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Presiden BERSATU.

Razali menegaskan, perbezaan antara pertuduhan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden BERSATU itu 'ibarat langit dan bumi'.

"Beza Presiden BERSATU dengan UMNO seperti langit dengan bumi, Presiden UMNO dituduh dengan 47 kes, manakala Muhyiddin hanya tujuh,

"Muhyiddin tidak dituduh memasukkan wang ke akaun peribadi tapi presiden kamu ada kegunaan peribadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razali menjelaskan, Muhyiddin sudah meletak jawatan ketika Mesyuarat Khas Bersatu di Markas PAS Taman Melewar, kira-kira jam 6 petang pada Sabtu lalu.

"Bagaimanapun Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU menolak peletakan jawatan beliau dengan sebulat suara.

"Muhyiddin masih tidak berpuas hati, terus dibawa usul ke Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU pada hari ini, dan usul dibawa Timbalan Presiden sekali lagi ditolak semua perwakilan tolak sebulat suara," tegasnya.

Menurut Razali, Muhyiddin sudah menunaikan janji untuk meletakkan jawatan namun ditolak oleh parti.

"Saya nak tanya Ketua Penerangan UMNO, apakah Presiden kamu pernah menawarkan diri untuk letak jawatan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) atau dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU)," katanya.

Sebelum ini media melaporkan Isham sebagai mempersoalkan Muhyiddin yang masih memegang jawatan sebagai Presiden BERSATU.

Muhyiddin pada Jumaat lalu mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.

Tuduhan itu menyebabkan Muhyiddin berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan terbabit atau RM10,000 yang mana lebih tinggi bagi pertuduhan salah guna kuasa.

Berita Harian X